Dulu idola K-pop, kini jadi petani, pemandu teksi

DI mata peminat, idola K-pop tampak serba gah baik di atas pentas mahupun kehidupan peribadi, namun realitinya kembara seni mereka tidak semuanya indah.

Di sebalik limpahan glamor, tersimpan kisah jatuh bangun, pengorbanan masa muda serta tekanan emosi tidak berpenghujung.

Sebelum terkenal seantero dunia, kebanyakan mereka menjalani latihan bertahun lamanya. Suara diasah, tubuh dilatih dan disiplin dibentuk. Bukan semua mampu bertahan, ramai kecundang apabila terpaksa akur dengan syarat kejam industri hiburan Korea Selatan.

Apabila tirai populariti perlahan-lahan dilabuhkan, sebahagian memilih meninggalkan kerjaya seni. Ada memulakan hidup baharu, ada pula menyarung identiti berbeza jauh dari kemilau populariti dan judul sensasi.

Kimchi Panas minggu ini menyingkap perjalanan lima bekas idola K-Pop memilih haluan berbeza, meninggalkan status selebriti demi kelangsungan hidup, ketenangan serta makna sebenar kebahagiaan.

Lee Ji-hyun

Lee Ji-hyun mengejutkan peminat apabila mendedahkan pilihan kerjaya baharu sebagai penata rambut profesional, malah bekas anggota Jewelry itu kini aktif membina nama dalam dunia kecantikan.

Dia menawarkan tempahan khidmat dandanan rambut secara terbuka, memperincikan harga serta jadual kerja secara telus kepada pelanggan.

Menariknya, kos perkhidmatan ditawarkan mampu milik, mencerminkan keinginannya mendekati masyarakat umum.

Langkah ini membuktikan wanita berusia 42 tahun itu serius membina kerjaya baharu berasaskan kemahiran, bukan nostalgia semata-mata.

Yuna

Yuna memilih meninggalkan pentas seni selepas kontraknya bersama FNC Entertainment tamat dan keputusan itu membuka laluan baharu sebagai jurulatih yoga bertauliah.

Bekas anggota AOA tersebut kerap berkongsi gaya hidup sihat, rutin senaman serta keseimbangan diri dalam media sosial.

Selepas debut pada 2012 dan meraih sokongan peminat bertahun lamanya, idola berusia 33 tahun itu kini dilihat selesa menjalani kehidupan sederhana, fokus pada kesihatan fizikal dan mental.

Kim Tae-heon

Kim Tae-heon memulakan lembaran baharu jauh dari pentas hiburan apabila memilih kerjaya sebagai pemandu teksi.

Bekas anggota ZE:A itu kini menjalani rutin harian bermula seawal pagi, memandu demi kelangsungan hidup.

Perjalanan ini bukan mudah, selepas pembubaran ZE:A pada 2017, idola berusia 36 tahun itu berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa mencuba pelbagai pekerjaan demi menyara diri.

Sebelum bergelar pemandu teksi sepenuh masa, dia pernah bekerja dalam bidang penghantaran, pembinaan, pusat logistik serta perkhidmatan restoran.

Kini, Tae-heon meraih pendapatan sekitar empat hingga lima juta won sebulan, setimpal dengan usaha keras serta keberanian memulakan hidup baharu tanpa bergantung pada populaiti.

Shoo

Nama Shoo pernah berdiri megah bersama kumpulan legenda S.E.S, namun kehidupan selepas era kegemilangan membawa arah berbeza apabila dia memilih bidang pertanian dan keusahawanan.

Pemilik nama Yoo Soo-Young itu mengusahakan ladang seluas 1,500 meter persegi, mengurus hasil tanaman sendiri hingga ke proses pembungkusan produk.

Idola berusia 44 tahun itu aktif berkongsi rutin harian dalam media sosial, memperlihatkan kesungguhan bekerja tanpa bergantung pada populariti masa lalu.

Kini, kehidupannya lebih tenang, jauh dari tekanan dunia hiburan, namun tetap produktif serta berdikari.

Jisoo

Jisoo memulakan karier bersama kumpulan Tahiti pada 2012 sebelum berehat seketika akibat gangguan panik serta kemurungan pada 2017.

Beberapa bulan kemudian, wanita berusia 31 tahun itu memilih meninggalkan Tahiti dan memulakan kehidupan baharu sebagai jurulatih pilates.

Kini, Jisoo mengurus studio sendiri dikenali sebagai Soo Pilates, membina reputasi dalam bidang kecergasan secara profesional.

Pada 2021, idola jelita itu turut berkongsi berita perkahwinan bersama lelaki bukan selebriti, melengkapkan perjalanan hidup baharu penuh makna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok