Konsert K-Spark yang berlangsung pada Sabtu lalu di Stadium Merdeka berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila menghimpunkan barisan artis K-pop popular termasuk G-Dragon Hwasa, ITZY dan DPR Ian.
G-Dragon membuktikan posisinya sebagai Raja K-pop terutama apabila kemunculannya membuatkan peminat umpama dihipnosis hilang kewarasan.
Kali terakhir G-Dragon muncul di Kuala Lumpur adalah untuk konsert jelajah dunia, Ubermensch enam bulan lalu.
Menghangatkan pentas dengan lima buah lagu iaitu Crayon, Crooked, Home Sweet Home, Power dan Too Bad, G-Dragon yang juga anggota kumpulan Big Bang sempat berjanji kepada peminat untuk kembali ke Malaysia.
“Saya akan kembali ke Malaysia bersama Big Bang, bila belum tahu lagi,” katanya ketika berinteraksi bersama peminat.
Dalam pada itu, G-Dragon juga sempat bertutur beberapa perkataan dalam bahasa Melayu seperti: “Hai semua, aku cinta padamu.”
Meskipun mendendangkan lima buah lagu, rata-rata peminat terkejut kerana durasi persembahannya dirasakan terlalu singkat.
Tetapi mungkin juga G-Dragon mahu menyimpan kejutan untuk kemunculannya bersama Big Bang pada tahun ini.
Momentum konsert diteruskan dengan kemunculan Hwasa yang tampil dengan barisan lagu seperti Maria dan Good Goodbye.
Tidak perlu dipertikaikan lagi, Hwasa seorang penyanyi yang bijak menguasai pentas dan peminat. Bahkan, persembahannya juga cukup memukau dengan vokal yang hebat dan tarian yang seksi.
“Saya sangat merindui anda semua, terima kasih datang dan mari sama-sama menghangatkan konsert ini,” katanya.
Tidak ketinggalan penyanyi solo DPR Ian asal dari Australia memanaskan pentas dengan persembahan penuh dramatik termasuk dengan petikan gitar dan tarian menonjolkan gerakan ‘ghairah’ tetapi tidak keterlaluan.
Meskipun cuaca Malaysia cukup panas, DPR Ian atau nama sebenarnya, Christian Yu dilihat menghormati peraturan di Malaysia apabila kekal dengan baju kemeja dan sut hitam sehingga ke akhir persembahan meskipun kebiasaannya, dia akan ‘belanja’ badan sasanya di depan penonton.
Walaupun tahap kesihatan kurang memuaskan, persembahannya langsung tiada kekurangan, malah bijak mengawal pentas dan turun ke bawah pentas untuk beramah mesra dengan penonton yang hadir.
“Saya tidak berapa sihat hari ini, suara tidak berapa di tahap terbaik tetapi saya akan cuba memberi yang terbaik kepada anda semua.
“Terima kasih kerana sangat mengalu-alukan kedatangkan saya di Malaysia,” ujarnya yang mendendangkan beberapa buah lagu antaranya, Calico, Don’t Go Insane dan Mood.
Artis tempatan kumpulan Dolla dan 3P juga memberi persembahan yang menghiburkan sebagai pembuka tirai.
Secara keseluruhan, konsert K-Spark yang tamat pukul 11.30 malam itu berlangsung dengan jayanya dan kali ini, tiada isu penonton luar lebih ramai kerana rata-rata peminat tempatan yang mengisi ruangan penonton.
Bahkan, artis-artis yang terlibat dilihat berpakaian lebih sopan daripada kebiasaannya kerana menghormati peraturan yang ditetapkan.
