BARU sahaja bergelar bapa, pelakon Redza Rosli menyifatkan perjalanan hidupnya sebagai perkara yang sangat indah dan penuh dengan kesyukuran.
Meskipun masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan status baru, Redza atau nama lengkapnya Ahmad Redza Rosli, 34, mengakui setiap rezeki dikurniakan Allah SWT termasuk kehadiran cahaya mata sulung adalah nikmat yang tidak terhingga.
“Saya rasa benda ini macam masih lagi tak percaya tapi macam mana pun perjalanan hidup ini berputar.
“Saya pun akan tua dan meninggal dunia juga satu hari nanti. Perkara ini, semua orang akan lalui.
“Jadi bagi saya perjalanan ini sangat indahlah Allah bagi. Rezeki bukan saja anak tetapi kesihatan, pekerjaan dan karier, pelbagai rezeki Allah bagi,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran program Ramadan Astro.
Tambahnya, kehadiran anak lelaki dalam hidupnya bukan sekadar kurniaan Tuhan, malah hadir bersama amanah yang besar.
“Saya bersyukur dikurniakan cahaya mata, anak lelaki. Pengalaman orang kata tak banyak lagi, tapi tanggungjawab bukan sahaja pada anak, tapi terutamanya mak ayah kita masih hidup lagi.
“Tanggungjawab banyak sebagai seorang anak lelaki, bukan saja pada keluarga saya, tapi isteri saya, anak. Jadi apa pun saya insya-Allah akan terus ada, macam mana pun saya akan cuba pandai cari masa untuk kerja dan keluarga,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Bisik-Bisik Gelora itu memaklumkan isterinya berada dalam penjagaan keluarga mentua memandangkan dia sibuk dengan tuntutan kerja.
“Sekarang ini isteri berpantang dengan mak mentua sayalah, mama dengan papa dia dekat rumah.
“Saya pula terlibat dengan kerja penggambaran, agak sibuk. Alhamdulillah saya dikurniakan keluarga mentua yang baik, menerima semua, senang.
“Dalam hati risau juga sebab masa isteri saya mengandung, dia lagi lebih suka duduk seorang diri.
“Isteri saya tahulah (faham) saya tengah menggalas tanggungjawab sepenuhnya. Insya-Allah,” katanya lagi.
Ditanya mengenai tindakan agak lewat mengumumkan berita kelahiran, Redza menjelaskan tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.
“Itu atas keputusan isteri (umum lambat). Kita pun bincang , risau kalau apa-apa jadi kan.
“Banyak isu semasa ini pun, bayi ada yang tak sampai ke dunia. Dalam kandungan pun ada yang meninggal dunia,” jelasnya.
Pada 13 Januari lalu, isteri Redza iaitu pelakon Bella Hanna selamat melahirkan cahaya mata sulung bernama Muhammad Aydrean Raess.
Untuk rekod, Redza dan bella mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024. – HIBGLAM
