Saya tak nak duit, saya nak emas – Erra Fazira

MESKI sudah hampir dua bulan berlalu, majlis perkahwinan primadona Erra Fazira dan suaminya, Ezwan Zain masih diperkatakan sehingga hari ini.

Majlis yang mendapat gelaran Wedding Of The Year itu menjadi inspirasi untuk ramai pengantin baharu terutamanya tentang penggunaan dinar emas sebagai mas kahwin.

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 52, dia sendiri tidak menyangka penggunaan dinar emas sebagai mahar menjadi inspirasi buat pasangan bakal pengantin.

“Sewaktu kami buat persiapan perkahwinan dulu, suami pernah tanya saya nak hantaran berapa? Saya cakap saya tak nak duit, saya nak emas.

Sekarang saya lebih cakna tentang kepentingan menyimpan emas. Kalau dulu saya lebih sukakan emas putih. Kini saya mula menyimpan emas kuning.

“Saya juga turut membelikan anak saya Engku Aleesya emas setahun sekali sebagai pelaburan masa depan. Di saat dunia sekarang berdepan pelbagai isu antaranya peperangan, pentingnya untuk kita menyimpan aset seperti emas,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran kedai emas Amelia Jewellery, baru-baru ini.

Sementara itu bagi suami Erra iaitu Ezwan, apabila isterinya meminta emas sebagai mas kahwin, dia ke Amelia Jewellery untuk mendapatkan dinar emas.

“Amelia Jewellery terletak berdekatan dengan premis perniagaan saya. Saya ingatkan mereka hanya jual barang kemas sahaja, rupanya mereka turut menjual dinar emas. Jadi saya beli 24 dinar emas daripada mereka untuk mencukupkan berat 100 gram.

Sebenarnya, salah satunya tujuan kami adalah untuk memberi kesedaran. Saya sedia maklum kepentingan emas. Apabila kita jadikan emas sebagai mas kahwin, kami berharap langkah ini dapat beri kesedaran kepada orang lain mengenai kepentingan emas,” jelasnya.

Terdahulu pasangan ini diijabkabulkan pada 12 Disember 2025 di Rinjani Majestic Kampung Melayu Subang. Ezwan memberikan mas kahwin berupa pokok emas yang mengandungi 24 keping dinar emas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok