‘Ini Grammy, bukan pantai’ – Berstoking dengan boxer, Bieber dikecam

ANUGERAH Grammy ke-68 sudah dua hari berlalu namun aksi penyanyi Justin Bieber yang tampil mengadakan persembahan dengan hanya mengenakan boxer atau seluar dalam di pentas berprestij itu masih menjadi topik panas di laman sosial.

Bieber yang membawakan lagu Yukon di Crypto.com Arena, Los Angeles dengan selamba tampil berani mencetuskan perdebatan netizen dengan sebahagian besar melontarkan kecaman atas alasan ‘kurang sopan’.

‘Justin, ini Grammy, bukan pantai.  Memalukan,” tulis seorang pemerhati.

Sementara itu, sebahagian peminat lain pula menyatakan penampilan suami kepada model, Hailey Bieber itu menunjukkan petanda keadaan mentalnya yang bercelaru.

“Ini sebenarnya menyedihkan. Seolah-olah dia sedang meminta tolong tapi tiada seorang pun sedar,” kata pemilik akaun media sosial lain.

Malah ada juga berpendapat Bieber melakukan kesilapan besar apabila tindakan sedemikian menenggelamkan kehebatan lagunya.

“Yukon merupakan lagu R&B terbaik Justin dalam tempoh sedekad ini tapi tiada siapa memperkatakanya kerana isu boxer lebih menyerlah,” tulis komen lain.

Penampilan di majlis anugerah tersebut adalah yang pertama bagi penyanyi berusia 31 tahun itu selepas kali terakhir beraksi di acara sama empat tahun lalu.

Begitupun, masih ramai peminat melayang pujian atas penampilannya yang disifatkan jujur selain mutu vokal ditunjukkan sepanjang persembahan.

“Saya obses dengan penampilan sebegini Mungkin ini pertama kali dia menyanyi tanpa orang menjerit dan benar-benar menyanyi untuk kita,” kata individu tersebut.

Di tengah persembahannya, kamera sempat fokus kepada Hailey yang tampak bangga menyaksikan aksi suaminya.

Pasangan tersebut sebelumnya berjalan bersama di karpet merah Grammy 2026 dengan busana serasi bertema ‘Ice Out’.

Terdahulu, Bieber pernah menyatakan lagu Yukon ditulis khusus buat isterinya, sekali gus menggandakan lagi elemen emosi pada penampilan berkenaan.

Pada majlis itu, Bieber yang meraih empat pencalonan menerusi album Swag pulang tanpa membawa sebarang trofi.

Album of the Year diraih Bad Bunny menerusi Debí Tirar Más Fotos, manakala Album Pop Vocal Terbaik dimenangi Lady Gaga dengan Mayhem. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok