BAGAI perhimpunan sang pemilik hati lara, konsert Malam Simfoni Luka sememangnya umpama gelanggang tepat buat mereka yang pernah atau sedang merasai kehancuran dalam percintaan.
Gabungan tiga band iaitu Insomniacks, Midnight Fusic serta kumpulan popular Indonesia, For Revenge nyata mengubat hati galau apabila Zepp Kuala Lumpur tetap sarat pada djipenuhi penonton.
Biar pada hari sama (31 Januari) berlangsung tiga lagi konsert lain, seleksi lagu galau dan pertembungan genre alternatif bersama pop moden penggemarnya terutama gen Z mendapat sambutan hebat.
Pentas dipanaskan Midnight Fusic yang menyentuh emosi khalayak bersama seleksi penenang perasaan cukup mendamaikan seperti Cahayaku dan Modus Operandi.
Tidak perlu berceloteh panjang, penonton terus larut dibuai irama melankolik sekali gus menggandakan lagi kesayuan dan kesyahduan.
Dari lantai gelanggang itu, jelas terlihat penonton berdendang bersama band kegilaan mereka itu dengan sepenuh perasaan seolah-olah larut didodoi khayalan.
Tidak menunggu lama, trio yang menggelarkan diri mereka sebagai Insomniacks pula meneruskan momentum dengan lima seleksi hits mereka.
Bagai menjahit luka, setiap dendangan menceritakan emosi lara seperti Igauan Malam disusuli Reminisensi sebagai pembuka hikayat pada malam tersebut.
Pernah beraksi di gelanggang sama pada Julai 2025, kemunculan kali ini tetap membuatkan peminat bagai dipukau dengan setiap bait nukilan lagu.
Seperti judul naskhah berhantu mereka, Sempurna, malam galau itu dilengkapkan lagi dengan bingkisan yang kena dengan konsert tersebut.

DENGAN pemilihan band yang tepat, konsert Malam Simfoni Luka tidak sekadar konsert bahkan fiesta band galau yang lengkap dari segi persembahan dan penceritaan.
Bahkan, Insomniacks yang menamatkan aksi mereka tepat pukul 9.45 malam memenuhi permintaan ramai bersama Pulang iaitu satu karya cukup peribadi buat mereka.
“Sebuah lagu yang kami tulis untuk mengingatkan kami pada masa dulu. Siapa di sini suka masa lalu?” ujar vokalisnya, Iqie disambut sorakan ramai.
Malam yang semakin larut kembali menyingkap memori silam sebahagian besar penonton ditambah kemunculan For Revenge yang tidak asing di bumi Malaysia.
Dimulakan dengan puisi, band asal Bandung yang melekat di hati peminat seawal tahun 2006 itu tampil energetik dengan katalog hit mereka.
Melihat lara jiwa dari sudut positif, empat tunjang utamanya pantas mengajak penonton meraikan diri mereka menerusi lagu Perayaan Patah Hati.
Band pop moden yang menyampaikan bahasa cinta bersama seni kata sarat makna itu turut menitipkan puisi sebagai naratif pemula persembahan mereka.
Tidak melupakan keindahan tanah tumpah darah, lagu Bandung Hari Ini diperdengarkan disusuli Jakarta Hari Ini yang juga diselitkan pesanan sinis buat pemerintah.
Terjemah emosi
Terus menggelegakkan emosi, Saat Kubenci Dunia dan Seisinya pula berkumandang di segenap ruang, sekali gus menggandakan lagi kesyahduan.
Antara teruja, galau dan sayu, semua rasa yang bersilih ganti singgah di sanubari jiwa-jiwa lara itu meninggalkan kenangan abadi buat khalayak.
“Aku tidak gagal mencintaimu, aku cuma gagal menyaingi sainganku,” itu ungkapan ringkas vokalisnya, Boniex Noer yang berbekas di hati sebelum menyampaikan lagu Ada Selamanya.
Sebelum berlalu, mereka menzahirkan perasaan kehilangan dengan lagu Satu Persatu Menjadi Abu dan Penyangkalan.
Keseluruhannya, konsert Malam Simfoni Luka bukan sekadar konsert, sebaliknya semacam fiesta band galau dengan susunan lagu, pencahayaan sinematik, menggabungkan plot dengan kisah lengkap.
Membawa sejarah indah buat hadirin, muzik disajikan Midnight Fusic, Insomniacks dan For Revenge merupakan bahasa jujur dalam menterjemahkan emosi insan.
Barangkali itulah malam tepat buat pencinta seleksi dendangan yang ‘kaya’ mesej berkaitan hati seumpama sebuah terapi untuk mengatur perjalanan hidup seterusnya pertukaran venue ke Zepp Kuala Lumpur juga hakikatnya memberi kelebihan kerana penyanyi lebih menjadi dekat dengan penonton. – HIBGLAM
