BAGAI diimpikan, Konsert Wings Orang Kita yang direalisasikan di Zepp Kuala Lumpur malam semalam ‘menawan’ lebih 2,000 penonton termasuk Gen Z berusia seawal 14 tahun.
Seperti harapan kumpulan rock otai itu, new era atau era baharu menerusi hala tuju muzik mereka yang lebih segar serta relevan dengan peminat muda dibuktikan menerusi sambutan persembahan mega itu.
Biar ada remaja yang dibawa ibu bapa menyaksikan persembahan mega tersebut, rata-rata penggemar Gen Z tampak ‘layan’ menikmati aksi berdurasi hampir tiga jam itu.
Bukan sekadar mengesahkan kedudukan Pae (dram) dan Am (bes) sebagai ahli keluarga terkini selepas empat dekad berkepak, Wings turut memperkenal gubahan baharu yang bakal digarap menerusi dua album serentak.
Katalog ‘panas dari oven’ itu berjudul Khalifah Empat, Burung 7, Yes I Know dan Sang Kekasih menonjolkan ‘sound’ segar namun masih mempunyai DNA Wings yang kental.
Bait setiap lagu mempunyai maksud tersirat menjurus kepada emosi diri, kemanusiaan serta ketuhanan yang digarab dengan jujur.
Semakin matang berkarya selepas 40 tahun nadi Wings berdenyut, vokalisnya Datuk Awie mengakui di belakang mereka adalah peminat tegar yang menjadi saksi terhadap jatuh bangun band terbabit sejak ditubuhkan pada 1985.
Secara tidak panggung perhimpunan di gelanggang gah yang dimeriahkan penonton daripada pelbagai lapisan usia disambut Wings dengan penuh kesyukuran.
“Alhamdulillah, kita dipertemukan di sini. Terima kasih penganjur kerana merealisasikan konsert ini dan kepada semua yang hadir walaupun hujan.
Mungkin Allah melindungi perjalanan anda semua ke sini,” katanya ketika berhenti seketika selepas membawakan lima dendangan tanpa henti sejak tirai pentas dibuka pukul 8.50 malam.
Bersilih ganti membawakan lagu slow rock dan bernota tinggi, Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, 57, seperti biasa ‘selamba’ melontarkan vokal selain bertenaga ke hulu ke hilir melayani hadirin.
Bersama empat lagi teraju utama termasuk Sham dan Edrie Hashim juga pengarah muzik, mereka menambat fokus khalayak dengan 25 dendand
Antara lagu dibawakan adalah Sekeping Kertas Bermaruah, Jumpa Hilang, Lubuk Pusing, Entah Kiri Entah Kanan, Hukum Karma, Di Ambang Wati, Bernafas Dalam Lumpur, Kota Kemusnahan dan Sejati.- HIBGLAM
