‘Saya terlalu sayangkan Sheila Rusly, dia mentua sempurna’

PELAKON Elisya Sandha menyifatkan mentuanya, aktres dan penerbit Sheila Rusly sebagai anugerah terindah dalam hidup berumah tangga, malah mengakui kasih sayang diterima membuatkan dirinya sering berasa terharu.

Ujar Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Sandha Hassan, 27, hubungan terjalin bersama Sheila bukan hanya atas ikatan mentua dan menantu, sebaliknya seperti ibu dan anak kandung.

“Boleh menangis saya. Sebab saya terlalu sayangkan mak mentua saya. Selalu rasa ini satu rezeki besar. Tak pernah terlintas akan dapat mak mentua sebaik dan sefaham ini.

“Ini idaman setiap wanita. Dilayan seperti anak sendiri, tak pernah buat kami rasa terasing atau orang luar.

“Susah nak gambarkan sebab pada saya, dia sempurna. Terima kasih, ma,” katanya dalam TikTok.

Sementara itu, Sheila, 47, pula mengakui Elisya sememangnya sudah dianggap seperti anak sendiri sejak awal perkahwinan.

“Dia memang anak saya. Bab anak, menantu dan cucu, saya sangat sensitif.

“Saya datang daripada keluarga berpecah, jadi saya berjanji akan jaga keluarga sendiri sebaik mungkin supaya anak-anak, menantu serta cucu tidak melalui pengalaman sama,” ujarnya.

Tambah pelakon Anak Betong itu, dirinya juga tidak pernah menganggap diri sebagai mentua sempurna, sebaliknya hanya berusaha memberi yang terbaik demi kebahagiaan keluarga.

“Tak adalah kata saya sempurna. Saya cuma cuba buat yang terbaik.

“Bila tengok anak-anak dan menantu bahagia, itu sudah cukup menggembirakan saya,” ujarnya.

Perkongsian tulus kedua-dua figura itu mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya terharu serta menyifatkan hubungan mereka sebagai contoh ikatan mentua dan menantu paling harmoni.

Malah, ada juga yang menyuarakan rasa cemburu secara positif serta berharap dapat memiliki hubungan keluarga seindah itu suatu hari nanti.

Untuk rekod, Elisya Sandha sah bergelar isteri kepada Uzair Haqimy Azman, anak sulung Sheila dan pengarah Jinggo, pada 21 Ogos 2021.

Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata, Bunga Elhaq, 4 dan Bahtera Elhaq, 1 sekali gus melengkapkan kebahagiaan keluarga besar mereka. – KOSMO! ONLIN

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok