‘Mahu terus relevan, disayangi peminat sampai bila-bila’

BARANGKALI lebih mudah membina nama, namun mempertahankannya menuntut jiwa sehebat kersani.

Dalam dunia seni, kemilau populariti boleh malap begitu sahaja dan hanya golongan berjiwa kental mampu terus berdiri walau badai datang silih berganti.

Industri hiburan tidak pernah berjanji tentang keabadian, hari ini dijulang, esok mungkin dilupakan. Namun, di celah ketidaktentuan itu, masih wujud insan seni yang memilih untuk terus bertahan, bukan kerana glamor semata tetapi kecintaan.

Prinsip tersebut terpahat kemas dalam diri penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias yang tidak pernah berhenti belajar meskipun perjalanan seninya sudah melangkaui dua dekad.

Bagi anak seni yang mesra disapa Nana itu, minat mendalam terhadap kerjaya seni bukan tiket mudah untuk kekal bertahan, sebaliknya perlu disokong usaha berterusan serta kesungguhan tanpa henti.

“Harapan saya dalam industri tiada lain semoga terus relevan. Saya cuba sedaya upaya untuk sentiasa menyajikan material baharu, bersemangat menghasilkan lagu, berlakon serta mencuba perkara lain dalam dunia seni.

Namun tidak dinafikan, untuk bertahan memang bukan sesuatu mudah. Banyak cara perlu dilakukan supaya kita terus berada dalam industri ini.

“Semoga saya masih ada dan terus disayangi peminat sampai bila-bila. Sebab itu saya mahu memantapkan diri, bukan sekadar dari sudut vokal melalui kelas nyanyian, tetapi dengan terus belajar tanpa jemu,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Terus Mencintai itu, jatuh bangun seorang artis banyak bergantung pada tahap usaha sendiri, malah tempoh panjang dalam industri tidak boleh dijadikan alasan untuk berhenti memperbaiki diri.

“Walaupun sudah lebih 25 tahun dalam bidang ini, saya tetap tidak mahu berhenti belajar. Saya mahu terus memperbaiki mutu persembahan dan nyanyian, insya-Allah. Setiap hari adalah proses pembelajaran.

Saya pernah berada di puncak populariti, kemudian melalui fasa menyepi. Waktu itu saya sedar, bukan mudah untuk bangkit membina semula nama, peritnya bukan kepalang.

“Sebab itu setiap peluang perlu dihargai sepenuh hati sebab bukan semua datang dua kali, kadang peluang hanya muncul ketika itu sahaja,” ujarnya.

Penghibur berusia 41 tahun itu turut mengimbas detik kebangkitan semula menerusi program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) pada 2015 yang disifatkan satu titik perubahan besar dalam hayat seninya.

Saya sangat bersyukur apabila kembali ke industri menerusi GV2 dan akhirnya dinobatkan juara.

“Itu peluang kedua dari Allah serta hasil sokongan peminat setia, saya tidak sia-siakan peluang itu dan terus bangkit berkarya untuk diri sendiri, peminat dan industri muzik tanah air,” tutupnya.

Kata-kata terbukti dengan tindakan. Selepas tampil dengan lagu irama Malaysia berjudul Ahai, ibu satu anak itu kini sekali lagi mencabar diri apabila berkolaborasi dengan penyanyi rap muda Apit Tearra, menerusi lagu Merayu Angan.

Lagu tersebut bukti keberaniannya menyeberangi sempadan muzik demi kekal segar dan dekat dengan khalayak pelbagai generasi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok