PERNAH alami fasa kejatuhan sewaktu era pandemik Covid-19, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri akui hampir menjual bangunan Wisma D’herbs miliknya yang terletak di Kota Damansara.
Menurut Aliff atau nama lengkapnya Aliff Syukri Kamarzaman, 39, bisnesnya jatuh merudum ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga memaksanya menjual pelbagai aset termasuklah kereta mewah.
“Saya tak pernah beritahu perkara ini kepada sesiapa. Ketika itu saya terpaksa jual kereta Ferrari, Rolls-Royce, tanah dan lima utas jam Rolex.
“Jualan bisnes saya sangat teruk dan saya pernah menangis bersama isteri saya. Kami tak mampu nak bertahan. Saya sendiri tak ambil gaji hampir setahun.
“Saya malu nak beritahu orang bahawa ekonomi saya ketika itu terlalu teruk. Hari-hari saya menangis dan kami membuat keputusan untuk berhenti berniaga dan jual bangunan ini,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian wajah baharu Wisma D’herbs, di sini, semalam.
Namun segalanya berubah apabila Aliff mula belajar tentang teknik berniaga secara dalam talian yang sebelum ini belum pernah dilakukan.
“Saya mungkin hebat berniaga tetapi saya seorang yang buta IT. Di saat orang mula berubah berniaga dalam platform digital, saya masih ketinggalan.
“Saya juga pernah ditipu oleh seorang sifu perniagaan sebanyak RM300,000 yang menjanjikan untuk mengajar saya tentang selok-belok berniaga secara dalam talian.
“Namun akhirnya saya belajar sendiri sehinggalah saya mampu membuat jualan sebanyak RM1 juta dalam masa 2 minit,” jelasnya.
“Bercakap tentang perasmian wajah baharu wismanya, kata Aliff selain fokus dengan jualan dalam talian, dia juga mahu memberikan pengalaman buat pembeli merasai sendiri membeli secara fizikal.
“Sejak setahun lalu tiba-tiba wisma kami menerima ramai pengunjung setiap hari. Ada yang datang secara rombongan naik bas dari pelbagai negeri termasuklah dari Singapura.
“Jadi kita besarkan lagi bahagian wisma ini dan insya-Allah satu hari nanti saya mahu jadikan wisma ini sebagai pusat beli belah seakan-akan Primark dan akan diberi nama Papamark,” kongsinya.
Dalam acara yang sama, Aliff turut menjemput bekas duta produknya iaitu Amelina untuk menghiburkan tetamu. Turut hadir Izara Aisyah selalu duta koleksi beg serta Sherry Alhadad yang bertindak selaku pengacara majlis. – HIBGLAM
