SUDAH lebih lima tahun Cahaya Nilam memasuki industri hiburan tanah air, namun baru kini namanya mula mencuri perhatian ramai.
Tahun lalu dia menjadi perhatian selepas membintangi drama Bukan Ipar Sempurna dan Seoul Cinta siaran slot Akasia TV3.
Tahun ini pula, Cahaya menyerlah menerusi drama seram Susuk Rupawan menerusi stesen sama.
Ketika sesi penggambaran muka hadapan ini dilakukan, Cahaya atau nama lengkapnya Cahaya Nilam Puteri Noor Eddie Putera masih dalam emosi penggambaran drama 60 episod Mencari Isteri Sempurna untuk tayangan Astro.
Semakin kerap menghangatkan siri drama televisyen, ada 1,001 kisah yang tersimpan sebelum dia benar-benar dikenali ramai.
Mungkin ramai yang masih belum tahu pelakon berusia 25 tahun ini sudah pun berumah tangga dan bergelar ibu kepada seorang cahaya mata lelaki berusia empat tahun.

PENAT hidup dalam keluarga bercerai-berai, Cahaya Nilam memutuskan untuk berkahwin pada usia 19 tahun dan bersyukur dikurniakan suami dan mentua yang sangat menyayanginya. – FARIZ RUSADIO
Satu ketika dahulu, ketika remaja seusia lain masih baru hendak mahu mengenal dunia, Cahaya memilih untuk mendirikan rumah tangga sedangkan berusia 19 tahun. Bukankah itu keputusan ‘mentah’?
Sampai ke hari ini, Cahaya sama sekali tidak pernah menyesali keputusan berkahwin pada usia muda.
Sebenarnya saya datang daripada ‘broken family’. Semasa membesar saya terpaksa hidup di dua rumah yang berbeza. Saya rasa penat. Bila saya berkenalan dengan suami ketika itu, keluarganya sangat menyayangi saya. Mereka layan saya seperti anak sendiri.
“Pada satu hari, ibu mentua saya berkata, kenapa saya tidak berkahwin sahaja dengan anaknya. Ketika itu terkesima, biar betul?
“Saya masih muda dan belum bekerja. Tetapi akhirnya saya setuju dan kami pun berkahwin,” cerita.
Menariknya, Cahaya mendirikan rumah tangga pada tahun yang sama dia melangkah masuk ke dunia lakonan.
Berlakon iklan
Sebenarnya penglibatan Cahaya dalam dunia glamor bermula sejak kecil lagi apabila sering menjayakan iklan komersial.
Apabila meningkat usia, dia sedar bahawa lakonan adalah karier idamannya.
“Saya bermula dengan iklan. Itu pun Mama Sandha (ibu Fasha Sandha) yang selalu bawa pergi ‘casting’. Dia dan ibu saya bersahabat. Mengejutkan, setiap uji bakat yang pergi, saya akan terpilih.
Bila habis sekolah saya buat keputusan untuk jadi pelakon. Tetapi saya sedar peluang masuk bidang ini bukan mudah. Jadi saya pergi jumpa dengan Megat, pengurus saya sekarang daripada Kolme Management. Dia dapatkan watak untuk saya dalam drama Pink Smile.
“Sejak itu, saya terus menerus dapat tawaran sehinggalah 2022 apabila disahkan hamil,” jelasnya.

DI AWAL perkahwinan Cahaya pernah menyembunyikan statusnya sebagai isteri orang namun insiden keguguran mengubah pendiriannya untuk lebih terbuka mengenai perkara itu. – Solekan & dandanan Elmanda Zuhairy
Diamkan status
Pada awal perkahwinan, Cahaya cuba merahsiakan statusnya sebagai isteri orang namun bersikap lebih terbuka selepas mengalami keguguran.
Saya keguguran ketika penggambaran drama Harith Fayyadh. Waktu itu kandungan saya baru berusia tiga bulan. Kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi.
“Keesokan harinya saya pergi ‘shooting’ seperti biasa kerana babak itu menglibatkan ramai pelakon. Tidak mahu gara-gara saya, babak itu terpaksa dibatalkan.
Ironinya babak itu di tanah perkuburan. Saya pula baru kehilangan bayi dalam kandungan beberapa jam sebelum itu.
“Pihak produksi belum tahu apa yang berlaku, mereka juga tidak tahu status sebenar saya. Selepas kejadian, pengurus beritahu produksi dan saya diberikan cuti selama empat hari,” kongsinya.
Selepas disahkan hamil buat kali kedua, Cahaya mengambil keputusan untuk berehat seketika kerana bimbang kejadian serupa berulang lagi.
Tanpa disedari, dua tahun dia hiatus daripada dunia seni kerana tidak boleh berenggang dengan anaknya.
“Bila anak sudah boleh berjalan, barulah saya rasa yakin untuk kembali berlakon. Alhamdulillah ‘comeback’ saya dipermudahkan. Saya dapat banyak tawaran selepas bergelar ibu. Kebanyakan adalah watak utama.
Saya bersyukur kerana punya keluarga mentua yang sangat membantu. Apabila terpaksa berjauhan dengan anak kerana ada penggambaran di luar negara, ibu mentua dan kakak ipar yang akan tolong jaga anak.
“Pernah saya hampir tolak tawaran lakonan di Korea kerana enggan berjauhan dengan anak, tetapi ibu mentua yakinkan untuk saya pergi. Mereka sangat menyokong dan akan menonton semua drama lakonan saya,” ujarnya.

CAHAYA bersyukur rezekinya dalam dunia lakonan mengalir indah selepas bergelar ibu malah sehingga kini dia menjadi pilihan beberapa pengarah untuk memegang watak utama dalam drama. – – Penata gaya AMY MIYAKE
Lumrah bergelar anak seni pasti tidak akan terlepas dikritik. Meski lakonannya dalam drama Bukan Ipar Sempurna teruk dikecam namun dia tidak cepat melatah.
“Mereka sebenarnya kritik watak dalam drama. Kalau saya jadi penonton pun mungkin saya sendiri akan kritik watak itu.
Saya dapat pelbagai reaksi daripada penonton, antaranya mereka kata mata saya besar.
“Jadi pengarah minta saya kecilkan sedikit pandangan mata saya,” kongsinya.
Tambah Cahaya, drama Bukan Ipar Sempurna antara naskhah yang meninggalkan impak besar dalam kerjayanya.
“Saya dapat banyak perhatian hasil drama itu. Sebenarnya pada awal penggambaran, saya agak bergelut untuk menghayati watak sehingga ditegur pengarah.
Jadi saya ambil inisiatif untuk dapatkan tunjuk ajar daripada pelakon senior, Ellie Suriaty. Saya ke rumahnya pukul 12 tengah malam dan berlatih berlakon sehingga pukul 3 pagi.
“Keesokan harinya apabila saya berlakon di set, lakonan saya dipuji pengarah,” jelasnya.
Ditanya, apa lagi watak idamannya selepas berjaya tampil sebagai heroin dan karakter antagonis, jawabnya pantas, karakter lucu.
Suka watak komedi, saya mahu menghiburkan orang, nak buat orang ketawa.
“Kalau pengarah pula saya teringin berlakon bawah arahan Adrian Teh dan Syafiq Yusof,” katanya yang meletak sasaran merangkul anugerah pelakon terbaik satu hari nanti. – HIBGLAM
