MENZAHIRKAN pandangan, pelakon Isa Khan terkilan dengan sikap segelintir suami yang kurang memahami tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Isa atau nama sebenarnya, Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 32, berkata suami masa kini terlalu menuruti kehendak isteri sehingga tidak sedar tindakan tersebut bercanggah dengan tuntutan agama.
“Di akhir zaman ini, suami yang sujud pada isteri. Sedih tengok banyak suami menjadi dayus hari ini dan hanya turutkan segala kemahuan isteri.
Walaupun bercanggah dengan agama,” tulisnya dalam perkongsian di InstaStory yang memperlihatkannya membaca al-Quran.
Menerusi hantaran sama, pelakon drama Inai Yang Hilang itu turut memuat naik sepotong hadis berkenaan larangan sujud sesama manusia.
Begitupun, tidak dapat dipastikan perkongsian berkenaan merujuk isu tertentu atau sekadar titipan pesanan secara umum.
Sebelum ini, suami kepada pelakon Risteena Munim itu sememangnya kerap berkongsi aktiviti harian selain menyentuh isu semasa di laman sosial.
Dia dan Risteena mendirikan rumah tangga pada 12 Mac 2021 namun mereka belum dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM
