BERAT hampir mencecah 100 kilogram (kg), vokalis Wings, Datuk Awie mengakui berdepan masalah kesihatan sehingga nekad menjalani rutin senaman serta memantau pengambilan makanan demi kembali bertenaga.
Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, 55, berkata persediaan siri persembahan mega yang bermula Konsert 40 Tahun disusuli Orang Kita juga antara pembakar semangat sekali gus membolehkannya ‘membuang’ 14 kg dalam tempoh tiga bulan.
“Saya menyedari semakin kurang bertenaga, cepat mengah dan sakit lutut sejak berat badan naik melampau melebihi 90 kg.
“Jadi saya kena buat sesuatu, tambahan pula waktu itu Konsert Wings 40 Tahun lagi tiga bulan saja bakal berlangsung. Saya kena ‘fit’ sebab nak bawakan 40 lagu.
“Kalau bertangguh sampai bila-bila pun takkan mula. Hati kena kental, tak boleh sekerat jalan. Lagipun jika ikut berat badan ideal saya saya sekitar 70 kg lebih,” katanya kepada HibGlam.
Bagi membolehkan perjalanan ke arah misinya berhasil, dia mendapatkan khidmat jurulatih peribadi di Ultimate Gym, Terry Gallyot yang juga Mr. Asia.
“Bukan mudah pada usia melebihi separuh abad ini untuk dapatkan hasil seperti diinginkan, saya perlu ikut jadual senaman serta ambil protein tinggi.
“Antara lain lebihkan makan sayur-sayuran serta biasakan ambil hidangan yang dibakar atau direbus. Nak kurus untuk sihat kena dapatkan pemantauan pakar,” katanya.
Mengenai Konsert Wings Orang Kita yang bakal berlangsung malam ini di Zepp Kuala Lumpur, katanya mereka bertiga dan dua ‘ahli keluarga’ baru, Am dan Pae sudah bersedia menakluk gelanggang gah itu.
“Kami sudah berlatih sejak beberapa bulan lalu, sekali gus tidak sabar untuk sekali lagi menghiburkan penonton bersama, Sham, Edrie, Am serta Pae dengan 25 dendangan termasuk empat lagu baharu,” katanya.
Dianjurkan Rumah Merah Produksi, persembahan mega itu direalisasikan bagi memenuhi permintaan penggemar mereka tidak ketinggalan peminat muda yang terlepas konsert ulang tahun ke-40 band terbabit pada Disember tahun lalu. – HIBGLAM
