‘Zaman kanak-kanak bintang cilik diragut terlalu awal, jejas kesihatan mental’

PENYANYI Shila Amzah mengakui perjalanan hidup sebagai bintang cilik sejak usia muda meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi serta kesihatan mental hingga memaksanya melalui rawatan perubatan.

Ujar Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, memulakan kerjaya terlalu awal membuatkan proses pembesaran normal terpaksa dikorbankan demi tuntutan dunia seni.

“Sejujurnya, menjadi bintang cilik sejak kecil, apatah lagi membesar di hadapan mata umum, membuatkan seseorang kehilangan peluang untuk melalui fasa kehidupan secara normal.

“Perkara ini memberi kesan besar dari sudut mental dan fizikal. Saya sendiri pernah mendapatkan rawatan serta berjumpa doktor bagi menangani perkara tersebut,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Masih Aku Cinta itu, fasa peralihan daripada kanak-kanak ke alam dewasa hanya mampu dilalui dengan baik sekiranya seseorang bintang cilik menerima sokongan seimbang.

Apa ingin saya sampaikan, peralihan fasa hidup seorang bintang cilik boleh berlaku dengan baik sekiranya sokongan diberi secara menyeluruh.

“Namun jika tumpuan hanya diberikan kepada kerjaya, perjalanan itu akan menjadi sangat sukar untuk mereka hadapi,” ujarnya pada sidang media Konsert 25 Tahun Shila Amzah yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC, di sini, semalam.

Pun begitu, anak kepada penyanyi senior ND Lala itu enggan menuding jari kepada mana-mana pihak, namun tidak menafikan realiti dunia hiburan sering menuntut kematangan luar biasa daripada artis muda.

Hakikat tersebut, kata Shila, sering disalah tafsir sedangkan kesan psikologi sebenar jauh lebih kompleks.

“Saya tidak mengatakan kesalahan ini terletak seratus peratus pada satu pihak sahaja.

Tetapi apabila bintang cilik mencecah usia 18 atau 19 tahun, mereka sering disangka lebih matang berbanding rakan sebaya.

“Apabila zaman kanak-kanak diragut terlalu awal, kesannya tetap akan memberi gangguan terhadap kesihatan mental,” luahnya.

Mengulas lanjut, ibu dua anak itu berpendapat dirinya tidak terlalu menggalakkan kanak-kanak terjun terlalu awal ke dunia seni.

“Secara jujur, saya tidak menggalakkan kanak-kanak memasuki industri hiburan terlalu awal.

Pada usia muda, perkembangan lobus frontal otak masih belum matang sepenuhnya. Mereka belum benar-benar mampu membezakan antara betul dan salah.

“Mereka akan ikut apa sahaja disusun untuk mereka, sedangkan ketika itu emosi masih rapuh dan belum stabil,” tuturnya.

Untuk rekod, Shila memulakan kerjaya nyanyian secara rasmi pada 2000 ketika berusia 10 tahun serta merakamkan album pertamanya Terima Kasih Guru sewaktu masih kanak-kanak, sekali gus menjadikannya antara bintang cilik paling awal mencipta nama dalam industri hiburan tanah air. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok