‘Saya depresi teruk’ – Hubungan Farel, bapa keruh

SUSULAN kontroversi melibatkan bapa kandung, penyanyi Indonesia Farel Prayoga mengakui bergelut dengan depresi yang serius.

Meskipun jiwanya tertekan, Farel, 16, tetap meneruskan kerjayanya demi kelangsungan hidup.

“Sudah tentu saya rasa tertekan dan ada masanya mengalami depresi yang cukup berat kerana menganggap seharusnya tidak perlu berdepan masalah-masalah seperti ini.

Perasaan bertengkar dengan orang tua (ibu bapa) itu sebenarnya tidak selesa. Tapi nak buat macam mana, hidup perlu diteruskan.

“Saya kena terus berjuang kerana kalau tidak bekerja kita tak dapat cari makan,” katanya kepada HibGlam semasa sesi santai bersama Farel Prayoga, semalam.

Pada masa sama, pelantun lagu Ojo Dibandingke itu mengakui hubungan dengan bapanya, Joko semakin rengang dan kurang berkomunikasi.

Sebelum ini hubungan dengan bapa memang baik-baik saja. Masih bercakap seperti biasa, bergurau.

“Cuma bila saya rasa kenyataan-kenyataan yang dibuat di media sudah melampau, kami sudah jarang berkomunikasi,” ujarnya.

Sementara itu, pengurusnya iaitu Rais memaklumkan kemelut tersebut memberi impak besar terhadap fokus pendidikan dan jadual kerjaya Farel.

“Masalah ini agak mengganggu kerjaya Farel. Contohnya kami sepatutnya mengeluarkan lagu baharu dengan lebih cepat tetapi terpaksa menangguhkannya kerana isu ini.

Apa yang paling terkesan adalah tentang pendidikan Farel. Bila dirundung masalah, dia susah untuk tidur.

“Sebelum ini dia sentiasa bersemangat untuk bertemu rakan-rakan di sekolah tetapi sejak kebelakangan ini semuanya sudah terganggu,” katanya.

Kemelut ini dipercayai berpunca daripada dakwaan Joko menggunakan wang simpanan hasil kerja keras Farel berjumlah Rp10 bilion (RM2.8 juta) untuk menampung kehidupan keluarga.

Rentetan polemik tersebut, Joko bertindak membuat laporan polis terhadap Rais berkaitan dakwaan berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok