‘Lagi bersemangat’ – Ella tidak ‘goyang’ konsert jadi perbandingan

BAKAL mengadakan konsert berskala besar tidak lama lagi, Ratu Rock Negara Ella mengakui tidak tertekan sekiranya Majlis Tertinggi Rockqueen di Stadium Nasional Bukit Jalil dibandingkan dengan artis lain.

Pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 60, memilih untuk kekal positif dan menyifatkan segala bentuk perbandingan sebagai pembakar semangat untuk memberikan aksi terbaik pada hari itu.

Tak ada tekanan, sebenarnya lebih memberi kita semangat untuk pergi lebih jauh.

“Jadi kita ambil positif, rasa macam lagi seronok dan semangat. Semua kawan-kawan pun bagi semangat,” kata Ella kepada HibGlam ketika majlis makan tengah hari bersamanya di Cili Kampung Sunway Pyramid, hari ini.

Mengulas mengenai persediaan mental berdepan kritikan atau perbandingan daripada netizen, pelantun lagu Sembilu itu menegaskan dia enggan memberi respons terhadap perkara yang tidak mendatangkan manfaat.

“Kita semua tahu netizen memang suka buat macam itu (bandingkan). Biar sajalah.

Jadi, saya rasa mereka dapat menilai. Kalau nak kena komen dan sebagainya, perkara ini akan berterusan sampai bila-bila. Yang baik kita ambil, yang tak baik kita tak perlu tengok pun.

“Setakat ini pun saya tak ada apa-apa respons. Kalau rasa benda itu tak beri manfaat, kita biarkan saja,” jelasnya.

Menerusi konsert Majlis Tertinggi Rockqueen yang akan berlangsung pada 14 Februari kelak, beberapa penyanyi akan beraksi iaitu Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan kumpulan The Boys (Ella & The Boys).

Lebih mengujakan, ada kejutan beberapa lagi penyanyi yang akan turut serta dalam konsert berskala mega itu.

Dianjurkan Hitman Solutions dan Rockqueen, tiket konsert sudah terjual sebanyak 90 peratus sejak mula dibuka pada 8 Disember lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok