Kunyah gula-gula getah hilangkan gemuruh, Bront Palarae mohon maaf

GARA-GARA mengunyah gula-gula getah sewaktu berjalan di pertunjukan fesyen Ariani, pelakon terkenal Bront Palarae dikecam netizen.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang melihat aksi Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 48, berjalan memperagakan koleksi Baju Melayu sambil mengunyah gula-gula getah.

Tambahan pula majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

“Aku suka Bront sebab ‘low profile’. Tapi terkejut dia mengunyah masa ‘catwalk’ acara formal yang dihadiri Permaisuri Selangor. Apa alasan pun tak manis.

Mungkin tengah makan nama dipanggil, tapi itulah, saya kecewa, harap dia tak ulang dan lebih peka.
Tahniah atas pelantikan sebagai duta dan semoga Bront terus maju jaya,” komen netizen.

Menyedari perkara itu menjadi bualan ramai, Ariani menerusi akaun rasmi Threads mereka tampil membuat penjelasan tentang situasi tersebut.

Menurut mereka, ketika itu Bront berada dalam keadaan gemuruh sehingga terlupa untuk membuang gula-gula getah sebelum berjalan di atas pentas.

Abang Bront minta maaf banyak-banyak kali dengan pasukan Ariani. Abang Bront sebenarnya gementar pertama kali ramai-ramai macam ni. Lepas tu kena ‘catwalk’ pula. Ambil sekejap gula-gula getah untuk hilangkan perasaan gemuruh dan mulut kering. Terlupa terus jadinya,” tulis mereka.

Semalam Ariani mementaskan koleksi baharu mereka sempena Lebaran 2026. Dalam acara yang sama turut diperkenalkan duta-duta baharu mereka antaranya Bront Palarae, Mira Filzah, Elly Mazlein, Elisya Sandha dan Cik Epal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok