Kalau heroin tak okey, saya takkan sentuh – Alvn

MENJAGA batas dalam lakonan, pelakon Alvn apabila sentiasa meminta izin aktres wanita gandingannya sebelum melakonkan babak bersentuhan.

Alvn atau nama lengkapnya Alvin Chong Chean Wah, 34, berkata, perkara itu lebih dititikberatkan apabila heroin gandingannya berstatus isteri orang.

“Saya bukan pelakon Muslim, jadi memang kena tanya dulu sebelum melakonkan sebarang babak bersentuhan atau romantis.

Dengan heroin yang belum kahwin pun tetap kena tanya sebab tak tahu apa yang mereka okey atau tidak. Sebab itu rehearsal sangat penting.

“Kita kena tahu pergerakan macam mana, sentuh di mana, semua kena beritahu awal-awal. Kalau tak okey, memang tak akan bersentuhan,” katanya pada sidang media pelancaran drama siri Viu Original berjudul Sesaat Lebih, semalam.

Ujarnya, perkara tersebut turut dipraktikkan ketika bergandingan dengan pelakon Nabila Razali dalam drama Sesaat Lebih.

“Untuk drama kali ini, mula-mula memang rasa agak susah sedikit dari segi mencari keserasian bila berlakon dengan orang yang sudah berkahwin.

Awal-awal jumpa di set, saya tanya elok-elok. Saya beritahu, ‘Bella, babak ini kena sentuh ya’. Lepas itu saya tanya lagi, suami dia okey ke tak?

“Dia beritahu semuanya okey. Lama-lama barulah masing-masing selesa dan wujud keserasian,” katanya lagi.

Menerusi perkembangan lain, Viu, perkhidmatan penstriman video terkemuka di bawah PCCW, bakal menayangkan siri Viu Original terbaharu berjudul Sesaat Lebih (Just A Little Longer) sebanyak 12 episod bermula 29 Januari 2026.

Drama bergenre romantik komedi itu akan bersiaran secara eksklusif di aplikasi Viu setiap Khamis dan Jumaat.

Selain Alvn dan Nabila, drama ini turut dibintangi Hazziq Husni, Zila Bakarin, Hawra Jamalullail dan Fahmy Reza. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok