‘Hampir tak jadi, rezeki kami’ – Inteam, M. Nasir berpadu suara

TERUJA bercampur gementar, kumpulan nasyid kontemporari Inteam mengakui peluang bakal sepentas dengan maestro muzik, Datuk M. Nasir di Konsert 25 Tahun Inteam: Nur Kasih ibarat bulan jatuh ke riba.

Anggotanya, Syah atau nama sebenar, Mohd Syahril Abdul Khalid, berkata segmen bersama seniman legenda itu dapat direalisasikan selepas berlakunya perubahan tarikh pemergian M. Nasir ke Tanah Suci atas sebab yang tidak diketahui mereka.

“Cadangan bersatu dengan sifu (M. Nasir) datang daripada penganjur Icon Entertainment, Iman Tang sendiri tetapi sebenarnya kami pun teringin bergabung bersama idola kami itu.

Cuma awalnya waktu usulkan hasrat, ia hampir tak jadi kerana beliau nak pergi umrah tetapi sudah ditakdirkan, ada pula perubahan pada jadual asal apabila beliau ‘terbang’ hanya beberapa hari selepas konsert.

“Rezeki Inteam dapat bersama-sama beliau walaupun dalam hati gementar kerana ini pertama kali kami beraksi dengannya. Sebelum ini beliau jadi juri program realiti yang kami sertai Gema Gegarbaganza (GGV),” katanya.

Syah berkata demikian ketika sesi latihan akhir Konsert 25 Tahun Inteam: Nur Kasih di Sg Buloh, baru-baru ini yang turut disertai tiga lagi ahli kumpulannya Rahim, Hazamin dan Hisyam.

Turut hadir ialah seorang lagi penyanyi undangan juga bekas ahli kumpulan Raihan, Nazrey Johani yang dijangka bakal membawakan dua lagu pada konsert 1 Februari ini.

Sebelum ini, Icon Entertainment mengumumkan  kejutan dengan kemunculan dua figura nyanyian popular itu selain penyanyi, Zizi Kirana.

Konsert itu juga dijangka menjadi antara acara nasyid terbesar di Malaysia pada awal tahun ini, sekali gus menghimpunkan ribuan peminat bagi meraikan perjalanan seni Inteam selama lebih dua dekad.

Menurut Syah lagi, sebagai persediaan sebelum bersatu dengan sifu, mereka mengambil kesempatan menonton persembahan komposer prolifik itu di sebuah acara.

“Malam ini (semalam) adalah latihan pertama kami dengan Datuk (M. Nasir) selepas beberapa minggu membuat latihan sendiri.

“Ikutkan ada dua lagu yang akan dibawakan bersamanya iaitu karya ciptaan Datuk sendiri nyanyian asal Al Jawaher yang pernah disampaikan bersama Ustaz Akhil Hayy.

Kami kena pastikan betul-betul bersedia. Gementar juga tapi macam kami katakan rasa gembira mengatasi segala-galanya. Apa pun sifu Terbaik walaupun nampak garang, macam guru besar,” selorohnya.

Kata Hisyam pula, secara keseluruhan hampir 30 lagu yang bakal disajikan pada konsert di Axiata Arena Bukit Jalil itu nanti termasuk paduan suara dengan penyanyi jemputan.

Peminat setia kesemua artis masih berpeluang untuk mendapat tiket ke konsert itu menerusi  https://www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok