PELAKON Zarif Ghazzi pernah berdepan gangguan peminat obses sehingga sanggup menghantar mesej secara peribadi kepada ibunya.
Zarif, 22, berkata, setiap individu layak untuk meminati mana-mana selebriti kegemaran mereka namun tidak seharusnya melampau batas.
“Untuk meminati seseorang itu tidak ada masalah dan saya sangat menghargai setiap kasih sayang serta usaha peminat. Cuma, kalau boleh, janganlah sampai ke tahap terlalu peribadi.
Ada yang menghantar mesej kepada keluarga saya. Kalau boleh, tidak perlulah. Mereka tanya, ‘hai, assalamualaikum ibu, ini saya, saya meminati Zarif.’
“Saya juga terkejut, tak tahu bagaimana mereka dapat nombor ibu saya. Siap WhatsApp ibu saya,” katanya yang ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026, baru-baru ini.
Ujarnya, keluarga adalah individu yang sepatutnya berada dalam ruang selamat tanpa diganggu oleh pihak lain.
Dia menambah, isu tersebut juga berkait rapat dengan aspek keselamatan dirinya dan keluarga.
Bagi saya, sebagai seorang pelakon, ini adalah pekerjaan. Tetapi apabila saya berehat dan tidak bekerja, saya mohon sangat agar peminat tidak sampai mengikuti ke rumah atau perkara peribadi lain.
“Setakat ini, alhamdulillah, peminat saya masih tidak tahu saya tinggal di mana. Kampung saya di mana pun mereka tidak tahu.
Saya memang kurang selesa. Sebab bagi saya, saya masuk industri ini seorang diri. Keluarga saya tidak sepatutnya terlibat.
“Bagi saya, ini berkait dengan keselamatan. Itu dunia saya. Keluarga adalah perkara yang saya jaga daripada orang luar,” katanya lagi.
Justeru, Zarif menitipkan pesanan kepada peminat agar terus menyokong kerjayanya namun dalam masa sama menghormati batas privasinya.
“Sebagai seorang pelakon, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menyokong saya dari dulu sampai sekarang.
Namun seperti saya katakan, lakonan adalah pekerjaan. Di luar itu, saya juga manusia biasa.
“Saya sangat mengharapkan agar peminat menghormati privasi saya. Saya melayan semua peminat sama rata, sebagai peminat. Ada batas antara seorang pelakon dan peminat,” ujarnya. – HIBGLAM
