PELAKON Sherry Ibrahim mengingatkan golongan wanita agar tidak terlalu mudah mempercayai lelaki yang baru dikenali bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.
Menurut Sherry, terbuka berkongsi kisah hidup dengan individu lain juga berisiko pelbagai masalah kemudian hari.
“Jangan sesekali berkongsi kisah sedih atau kelemahan dengan lelaki tak dikenali khususnya individu yang mempunyai niat tidak baik.
Apabila mereka tahu seorang perempuan berada dalam keadaan lemah, mereka akan berpura-pura ambil berat sebelum mengambil kesempatan,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Selain itu, Sherry turut memberi amaran kepada golongan lelaki agar tidak mengundang wanita melakukan perkara tidak sepatutnya secara paksaan.
“Mula-mula buat-buat kasihan kemudian ambil kesempatan dalam kesulitan. Kalau seorang perempuan berkata tidak, tolong jangan paksa.
“Selepas melakukan perkara tak baik, tergamak abai dan layan seperti sampah.
“Rasa marah dengan perbuatan macam ini! Perbuatan akan tinggalkan lebih impak berbanding kata-kata,” katanya lagi.
Sherry bagaimanapun tidak berkongsi lanjut sama ada perkongsian tersebut ada kaitan dengan mana-mana isu atau individu lain. – HIBGLAM
