Bencana cimpanzi ‘putus wayar’, 10 kali ganas

BEN, seekor cimpanzi yang jinak namun berubah menjadi ganas secara tiba-tiba akibat penyakit anjing gila atau rabies yang menyebabkan hampir keseluruhan penghuni sebuah villa mewah berdepan tragedi maut tidak terjangka.

Itu sedikit sinopsis filem terbaharu arahan sutradara, Johannes Roberts berjudul Primate yang kini hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Penulis berkesempatan menonton naskhah bernuansa natural horror di TGV, pusat beli-belah One Utama baru-baru ini dan hasilnya, tidak langsung menghampakan terutama dari segi jumpscare atau elemen kejutan.

Pertama sekali, filem ini ibarat buku bertemu ruas andai ditonton penggemar genre seram terutama bersama rakan-rakan rapat.

Hal ini kerana, meletakkan cimpanzi sebagai fokal penceritaan bersama ketakutan manusia terhadap haiwan berkenaan ibarat bull’s-eye atau sasaran mengena di panggung wayang.

NAMPAK tenang tidak berbahaya, namun Cimpanzi bernama Ben mempunyai 1,001 keganasan dalam diri yang sangat mengejutkan dan mengerikan.

Kita sendiri berasa was-was sama ada cimpanzi makhluk yang boleh dibela di rumah atau mampu bertindak semaksima ganas sehingga boleh mengokak rahang mulut manusia andai ‘wayar’ di kepala terputus disebabkan penyakit bawaan jangkitan seperti rabies.

Elemen kejutan dalam Primate memang tidak boleh dibawa berbincang. Bayangkanlah, raut cimpanzi bertaring itu sendiri sudah cukup mengerikan.

Apabila mereka bertindak ‘bijak’ setara manusia, itu memang membuatkan bertih jagung audiens di panggung terpelanting ke udara dengan jeritan paling nyaring dan sebahagian rongga anggota badan terkemut-kemut disebabkan rasa takut tidak berbahagi.

Untuk itu, markah jumpscare untuk Primate penulis berani beri sembilan per 10.

Keduanya, dari segi efek bunyi dan visual, Primate bukanlah yang paling hebat, namun sudah cukup memberikan pengalaman sinema memadai untuk penonton.

‘Permainan’ villa mewah di lereng bukit tertinggi, kemenjadian Ben (cimpanzi) yang berubah perangai selepas dijangkiti rabies, semua itu diadun dengan baik pengarah dan mereka yang terlibat.

Kesan bunyi suspens juga menguatkan perjalanan Primate berdiri sebagai sebuah filem seram yang mudah melekat di jiwa penonton.

Sementara itu, terjemahan karakter utama Lucy Pinborough oleh Johnny Sequoyah wajar dipuji, tidaklah terlalu cemerlang namun cukup meninggalkan dampak tersendiri.

LUCY (kanan sekali) dan rakan-rakan berdepan ketakutan yang luar biasa saat berdepan cimpanzi bernama Ben yang hilang kejinakan.

Bagaimanapun, sinergi ‘frenemy’ antaranya dengan Hannah (Jessica Alexander) seperti tidak terlalu memberi impak.

Barangkali, fokal keseluruhan terjurus kepada watak Ben yang sangat menyerlah waima hanya seekor cimpanzi.

Tidak semua filem horror itu lengkap serba-serbi dan Primate juga terkandung kekurangan yang nyata.

Pertama sekali, apa yang dibentangkan tersangatlah klise dan mudah diramal. Apa yang penulis maksudkan di sini, tidak banyak plot twist atau pusingan plot.

Ben dijangkiti rabies, membuat pertumpahan darah rakan-rakan Lucy, mereka diselamatkan dengan face-off melibatkan penjaga cimpanzi tersebut dan kemudian, plot cerita digulung.

Penulis mengharapkan mungkin ada ‘backstory’ lebih ampuh seperti Ben berdepan trauma sebelum dijangkiti virus. Mungkin makhluk itu pernah disiksa manusia dan sebagainya.

Apapun, Primate sebuah filem yang menghiburkan. Tidak bergantung kuasa jumpscare semata-mata, filem ini juga menyelitkan lelucon yang membuatkan deras adrenalin penonton bergoncang di tempat sewajarnya. Markah: 81 per 100. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok