Pekerja belakang tabir belahan jiwa 5 bintang Korea

CINTA tidak pernah mengenal waktu, apatah lagi lokasi. Dalam kesibukan dunia hiburan Korea, rasa itu kadangkala hadir tanpa dirancang, berputik perlahan ketika kamera berputar, skrip masih digenggam, dan kerja menjadi alasan pertemuan hampir setiap hari.

Fenomena cinta lokasi bukan cerita asing dalam industri seni Korea Selatan, namun lebih mencuri tumpuan apabila beberapa selebriti memilih pasangan daripada barisan belakang tabir seperti produser, pengarah, sinematografer serta komposer muzik.

Kimchi Panas minggu ini menyingkap kisah lima selebriti Korea Selatan yang menemui cinta sejati bersama insan produksi, lalu melangkah ke alam perkahwinan tanpa sensasi, hanya kejujuran dan takdir tertulis indah.

Moon So-ri

Nama Moon So-ri bukan asing dalam dunia filem Chungmuro (filem sejarah) malah diakui sebagai pelakon handal genre tersebut.

Aktres berusia 51 tahun itu berkahwin dengan pengarah terkenal Jang Jun-hwan pada 2006.

Sebelum bergelar suami isteri, mereka menjalinkan hubungan cinta selama hampir tiga tahun, bermula ketika bekerjasama dalam video music Tear Flower nyanyian Jung Jae-il.

Selepas mendirikan rumah tangga, pasangan merpati dua sejoli itu dikurniakan seorang cahaya mata, menjadikan kehidupan mereka semakin lengkap dan harmoni.

Menariknya, So-ri masih bekerjasama bersama suami menerusi filem 1987 pada 2017, bukti sokongan tidak pernah terhenti meski sudah berkongsi hidup.

Jang Na-ra

Aktres Jang Na-ra tidak pernah berselindung soal kebahagiaan rumah tangga.

Wanita berusia 44 tahun itu berkahwin dengan sinematografer Jung Ha-chul pada Jun 2022 selepas kisah cinta mereka bersemi di lokasi drama VIP.

Ketika drama itu dijayakan, Ha-chul bertugas sebagai pengarah fotografi, manakala Na-ra memegang watak utama seolah-olah dua dunia bersatu dalam satu naskhah.

Menariknya, aktres jelita itu mengakui dirinya jatuh cinta terlebih dahulu, malah tidak segan mengejar lelaki enam tahun lebih muda daripadanya itu.

Kini, mereka hidup bahagia, malah Na-ra terkenal sebagai isteri setia yang gemar berkongsi rutin harian bersama suami tercinta.

Yoon Bo-mi

Anggota kumpulan Apink, Yoon Bo-mi mengenali produser muzik terkenal, Rado pada 2017 ketika beberapa lagu kumpulannya digarap lelaki itu.

Kerap bertemu atas urusan kerja perlahan-lahan mengubah hubungan profesional menjadi rasa selesa. Dari perbincangan muzik, hati mula terpaut tanpa disedari.

Pasangan itu memilih untuk menyimpan kisah cinta jauh dari perhatian umum. Tanpa pendedahan berlebihan, mereka hidup tenang sehinggalah berita perkahwinan diumumkan pada 18 Disember 2025.

Majlis perkahwinan dijadual berlangsung Mei 2026, sekali gus menjadikan idola berusia 32 tahun itu sebagai ahli pertama Apink menamatkan zaman bujang selepas bertahun bergelar bintang idola.

Ham Eun-jung

Tanggal 30 November 2025 menjadi hari terindah bekas anggota kumpulan T-ara, Ham Eun-jung apabila sah bergelar isteri sutradara Kim Byung-woo.

Pasangan ini bertemu buat pertama kali ketika menghadiri sebuah acara gah industri perfileman. Tanpa skrip cinta, perkenalan ringkas berkembang menjadi keserasian mendalam.

Hubungan dibina atas kefahaman dan sokongan, membuatkan mereka berasa yakin melangkah ke alam perkahwinan tanpa gembar-gembur berlebihan.

Hari bahagia mereka menjadi lebih bermakna apabila idola berusia 37 tahun itu mempersembahkan lagu Meet Him Among Them, seolah-olah menyampaikan perjalanan hidup sendiri bertemu insan tepat di tengah kesibukan dunia seni.

Seo Yu-na

Selepas meninggalkan kumpulan AOA, Seo Yu-na membuka lembaran baharu kehidupan dengan khabar perkahwinan pada 1 Februari 2024.

Pilihan hatinya merupakan komposer muzik Kang Jeong-hoon, seorang insan di belakang tabir seni yang menjadi tunjang kebahagiaannya.

Majlis perkahwinan mereka berlangsung sederhana tetapi meriah dengan kehadiran rakan selebriti, memperlihatkan hubungan baik masih terpelihara meski tidak lagi aktif menyanyi.

Tahun berikutnya membawa berita lebih menggembirakan apabila wanita berusia 33 tahun itu mengumumkan kehamilan pertama, sebelum selamat melahirkan bayi lelaki comel yang melengkapkan perjalanan hidupnya sebagai isteri dan ibu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok