Drama mahkamah Datuk Red, Adira, Beego, Linda bila nak selesai?

JIKA mahkamah punya dinding yang boleh bersuara, pasti sudah penat menyimpan rahsia kisah rumah tangga selebriti yang ibarat sebuah sinetron tidak berpenghujung.

Datuk Red dan Adira kembali ke mahkamah untuk pengesahan lafaz rujuk yang didakwa berlaku secara lisan pada Mei 2024.

Adira pula menafikan sekeras-kerasnya kewujudan lafaz rujuk berkenaan, namun apa yang lebih mengundang sensasi adalah penyanyi itu hanya menerima saman pengesahan lafaz rujuk pada 18 Disember 2025.

Seperti ada udang sebalik batu, mengapa begitu lewat perkara sedemikian dibawa ke mahkamah. Bukan itu sahaja, keluarga Adira turut diminta memadam semua hantaran media sosial berkaitan kes lafaz rujuk tersebut.

Dari satu lain, Datuk Red juga mendakwa nombor telefonnya telah disekat dan komunikasi dengan bekas isterinya haruslah melalui pembantu rumah selaku orang tengah.

Dalam media sosial, rata-rata netizen meminta Datuk Red supaya move on kerana secara terang-terang bekas isterinya itu sudah tiada hati untuk meneruskan hubungan sebagai suami isteri.

PANAS dingin bertukar ganti, hampir dua tahun selepas bercerai pada 2024, suhu perhubungan Datuk Red dan Adira kembali memuncak dengan kes pengesahan rujuk.

Ada juga yang mendakwa Datuk Red sengaja menggunakan nama Adira untuk ‘memanaskan’ kembali namanya yang telah tidak lagi panas.

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan 16 Februari depan sebagai perbicaraan pertama pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan Datuk Red atau nama sebenarnya, Datuk Seri Adnan Abu Bakar, terhadap Adira.

Untuk rekod, Datuk Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015, namun perkahwinan berakhir dengan perceraian pada 24 April tahun lalu.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3.

Umrah, video ‘Isteri Derhaka’

Drama mahkamah tiada berpenghujung turut tersaksi dengan kisah pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim juga tidak kurang panasnya. Pasangan itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu lalu untuk pengesahan lafaz taklik.

Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 42, hadir ke mahkamah dengan harapan untuk menamatkan kemelut rumah tangga yang sudah berlarutan sekian lama.

Namun, selain pengesahan lafaz taklik isu lain yang memanaskan lagi drama mahkamah ini adalah Linda didakwa mengerjakan umrah tanpa izin Beego pada 24 Disember lalu.

Meski reda, Beego mengingatkan bahawa mereka masih berstatus suami isteri.

“Sekurang-kurangnya ucapkan, ‘Assalamualaikum, saya mohon izin mahu pergi umrah.’ Itu sahaja sebenarnya.

Walaupun dia sudah menyatakan tidak suka dan mahu berpisah, hakikatnya kami masih terikat sebagai suami isteri.

“Sebab itu saya tertanya-tanya, salahkah saya sebagai suami mempertikaikan perkara tersebut? Tak apalah, saya terima sahaja,” ujar Beego.

Terdahulu, Linda mencuri perhatian ramai apabila berkongsi tangkap layar mesej dipercayai dihantar Beego berhubung ibadah umrah itu.

BERMULA sejak Februari tahun lepas sehingga kini, tuntutan cerai Linda terhadap Beego belum menampakkan penamat dalam masa terdekat.

Dalam mesej tersebut, Beego dilaporkan menulis: ‘Pergi umrah nanti pasti ada kifarah. Sama ada baik atau buruk, sebab masih berstatus isteri.

Tindakan Beego untuk mendapat reaksi pelbagai daripada netizen yang menganggap lelaki itu seperti sengaja menyusahkan Linda dan mendoakan perkara yang tidak baik.

Linda pula membalas, hatinya telah tertutup rapat untuk kembali bersama dan menafikan tiada sebarang usaha dan pujuk rayu daripada pihak Beego sebaliknya, hanya serangan emosi.

Disebabkan itu, Linda memilih untuk mengehadkan komunikasi demi kesihatan mentalnya.

Anak-anak

Namun, sedar anak-anak harus membesar dalam persekitaran yang positif, dia langsung tidak menghalang hubungan Beego sebagai bapa bersama anak-anak.

Kami boleh berkongsi gambar, membuat panggilan dan berbincang hal anak termasuk keperluan sekolah. Jadi dakwaan dia tidak boleh berkomunikasi langsung dengan saya tidak benar.

“Dia juga boleh datang ke rumah, masuk serta mengambil anak tanpa sebarang halangan. Rumah kami berdekatan, malah boleh saling nampak,” tutur Linda.

Beego ketika ditemui berkata dia langsung tidak berniat menangguhkan kes yang melibatkan mereka, sebaliknya masih dalam usaha memujuk isterinya Linda untuk mencari jalan terbaik.

Bagaimanapun, prosiding pengesahan lafaz taklik Beego dan Linda ditangguhkan pada 9 Februari depan.

Kemelut rumah tangga pasangan tersebut mula menjadi perhatian sejak Januari tahun lalu apabila Linda memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.

Mereka pernah sah bercerai pada 27 Mac 2023 sebelum mencapai persetujuan untuk rujuk semula pada 9 April tahun sama serta membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Linda mendakwa mereka sekali lagi berpisah beberapa bulan selepas rujuk sebelum kembali bersama tidak lama kemudian.

Selama mendirikan rumah tangga sejak Jun 2013, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, serta Indah Camelia, 6 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok