ENAM tahun membangunkan rumah produksi Sinemaku Pictures bersama sahabat, Umay Shahab serta Ibu Yahni Dhamayanti, pelakon dan penerbit Prilly Latuconsina tiba-tiba memanaskan kancah perfileman Indonesia apabila mengumumkan pengundurannya daripada syarikat yang sudah seperti kiblat seninya itu.
Seperti luahannya ‘aku pamit’ pengunduran turut menyaksikan pemilik nama sebenar Prilly Mahatei Latuconsina itu melepaskan segala jawatan dan komitmennya sebagai pemegang saham dan pengurusan tertinggi, sekali gus menutup satu bab penting dalam perjalanan kerjaya kreatifnya.
Tiada Sinemaku di dada Prilly, berikut karya-karya sentuhannya bukan hanya sebagai penerbit bahkan juga pelakon yang mendapat sambutan menggalakkan.
Kukira Kau Rumah

DILANCARKAN pada 3 Februari 2022, Kukira Kau Rumah menjadi filem pembukaan Sinemaku Pictures sekali gus menandakan debut Prilly sebagai penerbit dan Umay Shahab sebagai pengarah.
Filem ini merupakan adaptasi daripada lagu popular berjudul sama oleh Amigdala.
Prilly tampil memegang watak utama sebagai Niskala, seorang gadis yang menghidap gangguan bipolar dan berjuang membuktikan kemampuan dirinya kepada bapanya, Dedi (Kiki Nafrendra) dengan meneruskan pengajian.
Pertemuan Niskala dengan Pram (Jourdy Pranata), pemuda yang mengisi hidupnya dengan muzik, mengubah perjalanan hidup mereka. Namun, hubungan yang terjalin diuji hebat apabila kondisi mental Niskala semakin meruncing.
Meskipun ditayangkan ketika pandemik Covid-19, filem ini mencipta kejayaan luar biasa apabila mencatatkan 2.2 juta penonton di Indonesia.
Bolehkah Sekali Saja Kumenangis

FILEM Bolehkah Sekali Saja Kumenangis menyelami kisah Tari (Prilly), seorang wanita yang memendam trauma akibat keganasan rumah tangga yang dilakukan bapanya terhadap ibunya.
Terpaksa menjadi pelindung keluarga selepas kakaknya meninggalkan rumah, Tari akhirnya menyertai sebuah kumpulan sokongan untuk menyembuhkan luka batin yang terpendam.
Di situlah dia bertemu Baskara (Dikta Wicaksono), seorang lelaki berperwatakan panas baran, sarat dengan masalah emosi dan trauma silam.
Pertemuan mereka menjadi titik mula kepada perjalanan penyembuhan, saling membantu memulihkan luka batin dalam sebuah kisah emosi yang mendalam dan kompleks.
Ketika Berhenti Di Sini

DEMI meneruskan kehidupan, seorang pereka grafik, Dita (Prilly) cuba meneruskan kehidupan selepas kehilangan cinta sejati.
Pertemuannya dengan Ed (Bryan Domani), seorang jurubina misteri, membuka lembaran baharu dalam hidupnya sebelum tragedi meragut nyawa lelaki itu, meninggalkan luka dan rasa bersalah yang mendalam.
Dua tahun kemudian, ketika Dita cuba bangkit bersama kekasih baharu, Ivan (Refal Hady), kehadiran cermin mata Augmented Reality yang ditinggalkan Ed membuatkan dia terperangkap antara kenangan dan realiti, memaksa Dita belajar erti melepaskan.
Itulah sinopsis ringkas filem Ketika Berhenti Di Sini yang dilancarkan pada 2023 dengan barisan pelakon hebat iaitu Prilly, Refal Hady dan Bryan Domani.
Patah Hati Yang Kupilih

FILEM terakhir lakonan Prilly bersama Sinemaku Pictures ini ditayangkan pada Disember 2025.
Prilly membawa watak Alya, seorang wanita yang menjalinkan hubungan cinta dengan Ben (Bryan Domani), lelaki berlainan agama yang tidak mendapat restu keluarga.
Namun, berbeza dengan kejayaan filem-filem terdahulu, Patah Hati Yang Kupilih hanya mencatatkan sekitar 109,000 penonton di pawagam Indonesia.
All Access To Rossa 25 Shinning Years

FILEM All Access To Rossa 25 Shining Years merupakan antara karya terbaharu terbitan Prilly Latuconsina yang mula ditayangkan pada 1 Ogos 2024.
Naskhah berbentuk dokumentari ini mengangkat perjalanan lebih 25 tahun kerjaya seni, kisah cinta serta kehidupan peribadi Rossa, yang dikenali sebagai Queen of Pop Indonesia, sekali gus mendedahkan sisi dirinya yang sebelum ini tidak pernah dikongsikan kepada umum.
Filem berkenaan dihasilkan sepanjang tempoh tiga tahun di bawah arahan Ani Ema Susanti, pengarah dokumentari tersohor yang pernah memenangi Anugerah Pengarah Dokumentari Terbaik Festival Film Indonesia 2011.
Difahamkan, dokumentari ini menerima sambutan menggalakkan apabila mencatatkan jumlah penonton tertinggi sebanyak 64,000 tontonan, sekali gus membuktikan pengaruh dan populariti Rossa yang kekal utuh di hati peminat.
Kejayaan All Access To Rossa 25 Shining Years turut menandakan pencapaian membanggakan buat Prilly sebagai penerbit muda yang berani tampil dengan karya dokumentari berkualiti tinggi. – HIBGLAM
