‘Saya takkan tampilkan Merrah di konsert, Wings bukan bisnes keluarga’

MERAIH pujian menerusi duet dengan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi Datuk Awie tiada hasrat menampilkan anaknya, Merrah di mana-mana konsert Wings.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 57, berkata, lebih baik puteranya itu bergerak sendiri tanpa perlu menggunakan band rock yang disertainya sebagai batu loncatan membina nama di arena muzik.

“Lebih baik Merrah belajar dulu dan cari peluang sendiri. Untuk saya ketengahkannya di pentas Wings, itu tidak mungkin berlaku kecuali dia duduk di belakang sebagai penyanyi latar.

“Jika saya bawa dia menyanyi di pentas, nanti orang akan kata ini bisnes keluarga pula, sedangkan Wings bukan perniagaan keluarga.

“Biar dia cari rezeki sendiri, saya cari rezeki saya. Namun saya akan sentiasa menyokong kerjaya seni Merrah,” katanya ketika sidang media Konsert Wings Orang Kita, baru-baru ini.

Menurut vokalis Wings itu lagi, dia enggan tindakan menonjolkan anak sendiri dalam persembahan mega band tersebut menjadi bahan umpatan ramai.

“Biarlah begini. Saya tak mahu buka ruang untuk orang jadikan perkara ini sebagai peluang mengata. Jangan biarkan setitik isu menjadi sebelanga masalah.

“Nanti orang akan saling menghentam kerana ini zaman orang menghentam secara percuma. Berani di sebalik telefon (sosial media), kalau berdepan mereka tak berani,” ujarnya.

Terdahulu, nama Merrah atau Putra Ahmad Merrah, 19, menjadi bualan selepas videonya bergandingan dengan Siti Nurhaliza membawakan lagu Senja Nan Merah tular.

Mengenai Konsert Wings Orang Kita anjuran Rumah Produksi Merah (RPM), Awie mendedahkan selain memperkenalkan dua anggota tetap, Pae dan Am, mereka juga menyenaraikan empat lagu baharu.

Katanya, konsert di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari ini adalah permulaan era baharu Wings yang terus membuktikan semangat dan jiwa rock mereka kekal utuh meskipun melalui perubahan zaman.

“Konsert Wings Orang Kita dianjurkan sebagai penghargaan kepada peminat setia, termasuk mereka yang terlepas menyaksikan konsert Wings 40 Tahun sebelum ini.

“Ini juga simbol hubungan erat antara Wings dan penyokong kami selain memenuhi permintaan ramai termasuk golongan muda turut menjadi nadi keutuhan jenama Wings,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok