‘Bukan sebab duit, semua ini atas nama persahabatan’

DALAM landskap industri hiburan tempatan, hubungan tulus jarang menjadi keutamaan, namun masih wujud selebrti yang memilih untuk kembali kepada sesuatu jenama bukan kerana nilai kontrak, sebaliknya demi nilai persahabatan.

Itulah nadi utama kemunculan semula pelakon Sharnaaz Ahmad sebagai wajah kempen jenama pakaian, Bulan Bintang.

Bagi pemilik nama sebenar Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad itu, keputusannya kembali menyertai keluarga jenama berkenaan bukan dipacu wang ringgit, sebaliknya lahir daripada ikatan kekeluargaan.

Katanya, kehadiran semulanya  terasa seperti pulang ke rumah selepas sekian lama membawa haluan sendiri.

Dia juga tidak menafikan faktor rasa rindu terhadap insan-insan yang pernah menjadi sebahagian besar dalam kerjayanya terutama sahabatnya, aktor Shukri Yahaya dan pengasas jenama itu sendiri, Azzim Zahid atau lebih dikenali sebagai Meri.

“Secara jujurnya, saya kembali sebab saya perlukan keluarga (seni) saya. Keluarga yang sentiasa ingat saya walau di mana saya berada.

Sahabat-sahabat atas pentas hari ini merupakan keluarga yang saya kenal sejak lama. Ada rasa rindu untuk kembali bersama Shuk dan juga Meri,” katanya kepada HibGlam.

Dedah aktor berusia 41 tahun itu, atas alasan itu juga keputusan tersebut dibuat meskipun bayaran diterima jauh lebih rendah berbanding tawaran jenama lain sebelum ini.

Jangan tanya saya soal duit atau tawaran. Itu bukan Sharnaaz. Apa yang saya terima di sini sebenarnya lebih rendah berbanding tempat lain.

“Tetapi hari ini saya berada di sini bukan sebab duit, sebaliknya kerana persahabatan dan di mana saya mahu berada,” ujarnya.

BARISAN selebriti yang diangkat sebagai wajah jenama pakaian, Bulan Bintang untuk edisi Ramadan dan Aidilfitri kali ini.

Mengulas soal kualiti produk, pelakon Blood Brothers: Bara Naga itu mengakui dia tidak pernah berkompromi sebelum menerima sebarang kerjasama.

“Sebelum saya kembali, perkara pertama saya periksa ialah kualiti. Saya tidak akan sewenang-wenang pakai benda yang tidak berkualiti apatah lagi mempromosikannya,” jelasnya.

Selain duda satu anak itu, keluarga jenama popular tersebut turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti lelaki ternama seperti Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Datuk Rosyam Nor, Nadhir Nasar, Mierul Aiman dan Zahiril Adzim.

Perlukan selebriti

Jenama tersebut turut menampilkan barisan duta istimewa termasuklah Hannah Delisha, Ain Edruce, Azira Shafinaz, Kasih Iris Leona, Erysha Emyra, Ernie Zakri, Syamel, Datuk Ramli MS, Datuk Jalaluddin Hassan serta Alif Rakib, sekali gus mengukuhkan imej Bulan Bintang sebagai jenama inklusif merentasi generasi.

Sementara itu, pengasas Bulan Bintang, Meri menegaskan penggunaan barisan selebriti ternama terutama Sharnaaz bukan kerana tidak yakin terhadap mutu produk sendiri, sebaliknya strategi penting untuk memastikan jenama terus kukuh menembusi pasaran arus perdana.

Saya bukan individu terkenal. Jenama ini lahir daripada permulaan sangat sederhana. Disebabkan itu, saya perlukan insan-insan yang memiliki pengaruh, angka pengikut serta kepercayaan ramai bagi menolak jenama ke pasaran dan menembusi minda pengguna,” katanya.

Meri mengakui pendekatan berkenaan terbukti berkesan sehingga Bulan Bintang berjaya membina identiti tersendiri selepas lebih sedekad berada dalam industri.

“Bila ditanya bila Bulan Bintang mahu berdiri atas nama kualiti semata-mata, saya sendiri tiada jawapan khusus kerana pada saya, kami sudah capai tahap kualiti terbaik.

Saya tetap perlukan selebriti. Pertama atas dasar kerja, pengaruh dan sokongan pengikut. Kedua, mereka inilah wajah-wajah yang sejak dahulu bersama saya.

“Kalau satu hari nanti tiada Shukri Yahaya, Sharnaaz tiada semua insan di depan saya hari ini, rasa seperti ada sesuatu yang hilang,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok