‘Beranilah bangkit, perjuangkan hal yang awak mahukan’ 

Beranilah untuk bangkit. Awak perlu berjuang untuk apa yang awak mahukan.”

Demikian nasihat pelakon Azira Shafinaz yang mahu golongan wanita lebih berani mempertahankan kesejahteraan diri dengan tidak terus membiarkan diri terperangkap dalam lingkungan toksik.

Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 35, menegaskan kekuatan untuk keluar daripada situasi negatif bukanlah satu bentuk pemberontakan, sebaliknya keperluan demi masa depan yang lebih baik.

“Untuk saya kata tinggalkan (hubungan), itu benda yang kita tak boleh lawan takdir, mungkin manusia boleh berubah kan?

Tapi apa yang saya boleh cakap, beranilah bangkit. Bukanlah bersuara untuk jadi kurang ajar atau tidak dengar cakap suami. Tapi awak perlu berjuang untuk hal yang awak mahukan.

“Jangan berada dalam lingkungan toksik. Bukan saja dalam hubungan tapi boleh jadi persahabatan atau keluarga. Selagi boleh elak, kita cuba keluar,” katanya kepada HibGlam pada pelancaran Ramadan Raya 2026: Jwanjih Drama! di TGV Cinema Suria KLCC, baru-baru ini.

Dalam perkembangan seni, anggota kumpulan De Fam itu bakal kembali menghiasi skrin televisyen menerusi drama terbaharu berjudul Karena Cinta Itu Dusta yang dijadualkan bersiaran bermula 25 Februari depan.

Menurut Azira, naskhah tersebut menarik minatnya kerana membawa mesej pemerkasaan wanita yang sangat kuat menerusi karakter Seri, selain pertama kali diberi kepercayaan melakonkan watak mangsa penderaan.

“Saya terima sebab dah lama tak buat drama, rasanya kali terakhir pada 2018 untuk slot Akasia, banyak buat platform OTT. Jadi, boleh dikatakan sebagai satu kemunculan semula dalam drama Karena Cina Itu Dusta.

Satu lagi sebab slot yang bagus dan mesej yang baik untuk disampaikan kepada orang luar, di mana cerita ini fasal pemerkasaan wanita. Dia bukan tunjuk wanita lemah, macam mana wanita tangani masalah dalam rumah tangga, kerjaya dan pengkhianatan.

“Lagi satu saya tak pernah berlakon watak didera. Jadi, ini kali pertama saya bawa watak Seri. Satu cabaran macam mana nak buat orang nampak watak yang teranaiya dan didera dalam rumah tangga,” ujarnya lagi.

Karena Cinta Itu Dusta mengisahkan pasangan suami isteri yang membina empayar perniagaan bersama, namun kebahagiaan mereka mula goyah akibat gangguan orang ketiga yang juga teman rapat kepada si isteri.

Selain Azira, drama terbitana TV3 tersebut bakal dibintangi Emma Maembong, Jazmy Juma dan Nazrief Nazri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok