Sepentas dengan G-Dragon, Hwasa satu penghormatan – Dolla

DUA kumpulan penyanyi tanah air, Dolla dan 3P yang terpilih berkongsi pentas dengan beberapa bintang ternama Korea Selatan dalam konsert K-SPARK In Malaysia 2026 ibarat mendapat rezeki terpijak.

Dianjurkan Machi Production dan Conneverse, konsert K-SPARK menampilkan barisan artis popular antaranya G-Dragon, Hwasa, ITZY dan DPR IAN yang dijadualkan berlangsung pada 31 Januari di Stadium Merdeka.

Mewakili selebriti tempatan, Dolla mengakui berasa amat berbesar hati dapat sepentas dengan nama-nama besar K-pop yang selama ini menjadi sumber inspirasi muzik mereka.

“Kami berasa sangat berbesar hati kerana berada dalam barisan artis ternama Korea Selatan.

Kami adalah peminat tegar semua artis yang datang. Kami membesar dengan lagu-lagu mereka dan teruja nak menonton mereka buat persembahan.

“Sudah tentu, kami pun akan memberikan persembahan yang terbaik untuk semua orang. Maksudnya, kami cuba berikan set persembahan yang sangat diingati,” kata Angel ketika ditemui HibGlam.

DOLLA bersama barisan artis dan penganjur konsert K-SPARK yang akan berlangsung pada 31 Januari ini.
– FIRDAUS JOHARI

Dalam masa sama, Angel atau nama penuhnya Angelina Chai Ka Ying, 25, menganggap peluang ini sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan Dolla ke peringkat antarabangsa.

“Saya rasa penonton K-SPARK kali ini bukanlah mereka yang mengenali Dolla, jadi ini adalah peluang terbaik kami memperkenalkan diri dan memberikan persembahan terbaik.

Dolla juga akan mempersembahkan lagu-lagu Melayu kami. Jadi, saya rasa akan menjadi sesuatu yang menyegarkan buat penonton.

“Kami pernah buat persembahan untuk rancangan NMIXX dan Jay Park, penonton sangat menyokong. Saya rasa peminat K-pop sangat menyokong dan saya bersyukur serta teruja untuk berikan yang terbaik,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi anggota Dolla, Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam, 26, mengakui masih tidak percaya dapat berkongsi pentas dengan barisan bintang K-pop ternama.

Ini adalah satu penghormatan untuk berkongsi dengan mereka. Kami sangat gembira dan teruja berada di sini,” jelas Tabby.

Ditanya mengenai persiapan menjelang konsert, Sabronzo memaklumkan Dolla giat menjalani latihan intensif termasuk menyertai kelas tarian bagi memastikan persembahan yang mantap.

“Persiapan Dolla sentiasa sama apabila melibatkan persembahan di atas pentas yang sebesar ini. Jadi, kami sedang berlatih di studio.

Kami juga banyak mengikuti kelas tarian kerana bakal menjadi satu set persembahan yang berbeza.

“Bukanlah berbeza sepenuhnya tapi set persembahan yang sangat menarik,” jelas pemilik nama penuh Wan Sabrina Wan Rusli.

Harga tiket yang sudah mula dijual pada 18 Januari lalu bermula dari RM388 hingga RM988 dengan pilihan ‘free seating’. HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok