PELAKON Adam Lee mengakui malu apabila senyuman ikhlas dititipkan buat individu tidak dikenali tidak berbalas seolah-olah dia tidak wujud.
Adam atau nama sebenarnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 32, berkata, insiden sedemikian kerap berlaku hingga membuatkan dirinya berasa janggal.
“Kepada semua pengikut aku, sama ada mengikuti akaun (media sosial) aku atau sekadar tengok secara senyap-senyap, aku tak marah pun. Cuma nak luahkan perasaan.
Benda ini selalu jadi dekat aku. Contohnya aku berdiri di luar, orang lalu berdua di depan. Aku pandang sebab naluri manusia kan, kemudian aku senyum paling ikhlas.
“Tiba-tiba orang itu buat muka sombong, pandang lain, macam tak kenal langsung,” katanya dalam Instagram.
Lebih menyedihkan kata pelakon filem Babah itu, keterbukaannya untuk beramah mesra dengan orang luar sentiasa dibalas dengan reaksi dingin.
“Dalam hati terus terdetik, tolonglah jangan malukan aku. Aku betul-betul rasa segan masa itu. Aib juga benda macam ni.
Mungkin ada orang kata aku perasan artis, poyo atau bajet tapi aku percaya naluri manusia. Bila kita pandang, kita tahu situasi itu jelas.
“Aku tak marah pun. Nak pandang, pandang saja. Aku tak makan orang,” ujarnya.
Paling penting luah suami Sweet Qismina itu, dirinya sentiasa terbuka untuk ditegur mahupun menyapa peminat selain menegaskan tidak pernah meletakkan jurang dengan peminat.
“Aku okey saja kalau orang nak tegur. Mungkin muka aku nampak tak senyum, tapi sebenarnya aku senyum.
Aku sayang semua. Jumpa depan-depan, tegur saja, semuanya okey,” jelasnya.
Perkongsian tersebut pantas mengundang reaksi netizen yang rata-rata bersimpati dengannya selain berpendapat situasi berkenaan mungkin berlaku tanpa niat atau tidak disengajakan. – HIBGLAM
