‘Kena tegas, perempuan manja tergedik-gedik akan terbawa-bawa sampai besar’

BIMBANG melihat lambakan masalah sosial dalam kalangan remaja hari ini, usahawan selebriti Datuk Seri Aliff Syukri menerapkan didikan tegas berhubung batas pergaulan anak-anaknya.

Menurut Syukri, perkara tersebut sangat ditekankan terhadap anak-anaknya, terutama apabila kediamannya menyaksikan keluar masuk beberapa pekerja lelaki hampir setiap hari.

Dalam rumah saya biasanya ada 15 orang termasuk isteri, Datin Seri Shahida, enam anak dan lima pembantu peribadi (PA) lelaki yang setiap hari keluar masuk. Jadi, yang wanita memang diwajibkan bertudung.

“Anak-anak saya pula masih kecil dan bermanja-manja pula dengan PA. Walaupun belum haram lagi, saya tak mahu mereka terbiasa.

Sebab bagi saya perempuan bila sudah mula manja tergedik-gedik nanti akan terbawa-bawa sampai ke besar. Tiba-tiba Raudah (anak) bermanja-manja pula dengan PA saya, memang saya mengamuk.

“Kemudian Raudah mengadu pada kakaknya, Qadejah sebelum dinasihatkan perlu jaga batas dan sebagainya. Tapi saya tak rekod keadaan ketika mengamuk itu,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran koleksi tas tangan terbaharu D’herbs bersama Izara Aishah, semalam.

Shukri menambah, dia tidak pernah berniat mengongkong kebebasan anak-anaknya tetapi setiap aktiviti yang dilakukan haruslah dimaklumkan lebih awal atau melibatkan ahli keluarga lain.

“Saya sendiri takut bila tengok gejala sosial semakin berleluasa, apatah lagi saya ada dua anak perempuan.

Contohnya Qadejah kalau nak keluar, memang akan ada adik-beradik dia ikut. Kalau Ammar Ahyan pula, setiap kali dia keluar memang akan hantar mesej seperti ‘proposal’, maklumat secara terperinci.

“Memang ada banyak benda tak elok berlaku di luar sana, kami kena berjaga-jaga dan tegas,” ujarnya.

Baru-baru ini, tular sebuah video Qadejah menasihatkan adik-beradiknya mengenai batas pergaulan dengan lelaki bukan mahram.

Untuk rekod, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Shahida pada Ogos 2007.

Selain Ammar, pasangan ini mempunyai lima lagi cahaya mata iaitu, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham , Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok