Sekurang-kurangnya ucap ‘Saya mohon izin pergi umrah’ – Beego

PELAKON Beego menegaskan dirinya tidak menyimpan sebarang perasaan marah terhadap isterinya, Linda Hashim, susulan dakwaan aktres itu tidak meminta izin sebelum berangkat menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Mekah pada 24 Disember lalu.

Ujar Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, mesej dihantarnya kepada Linda sekadar peringatan berhubung status mereka sebagai suami isteri, bukan berniat mencetuskan salah faham.

“Saya langsung tidak marah. Sebagai suami, bila isteri mahu menunaikan umrah, saya reda sahaja. Cuma saya mengingatkan tentang kedudukan kami masih suami isteri.

Dia tidak meminta izin secara khusus. Bukan apa, sekadar berbasa-basi atau berlembut sedikit sudah memadai. Kalau perkara itu disalah tafsir dan menyinggung perasaan, terpulang kepada dirinya.

“Saya bukan jenis berkongsi semua perkara kepada umum,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon drama Puteri itu, apa diharapkan hanyalah menjaga adab sebagai isteri meskipun hubungan mereka sedang melalui fasa getir.

Tegasnya, status rumah tangga mereka masih belum berakhir sepenuhnya kerana kes masih dibicarakan di mahkamah, sekali gus membuatkan dirinya berasa keliru dengan kedudukan sebagai suami.

Sekurang-kurangnya ucapkan, ‘Assalamualaikum, saya mohon izin mahu pergi umrah.’ Itu sahaja sebenarnya.

“Walaupun dia sudah menyatakan tidak suka dan mahu berpisah, hakikatnya kami masih terikat sebagai suami isteri.

“Sebab itu saya tertanya-tanya, salahkah saya sebagai suami mempertikaikan perkara tersebut? Tak apalah, saya terima sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, Linda mencuri perhatian ramai apabila berkongsi tangkap layar mesej dipercayai dihantar Beego berhubung ibadah umrah itu.

Dalam mesej tersebut, Beego dilaporkan menulis: ‘Pergi umrah nanti pasti ada kifarah. Sama ada baik atau buruk, sebab masih berstatus isteri.’ – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok