‘Jika lafaz taklik tidak sah, akan teruskan dengan tuntutan cerai’

PELAKON Linda Hashim hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini bagi prosiding pengesahan lafaz taklik terhadap suaminya, Beego, selepas tuntutan tersebut difailkan sebelum ini.

Ujar Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 42, prosiding kali ini merupakan sambungan sebutan kes selepas pihak defendan gagal hadir pada tarikh terdahulu.

“Hari ini sambungan kes sebutan taklik sebab sebelum ini defendan tidak hadir. Jadi hari ini dia datang, kita pun tak tahu apa lagi bakal berlaku.

Bagi saya, ada perkara sukar berkaitan video taklik itu dan hanya hakim boleh mengesahkannya. Namun satu perkara pasti, taklik tersebut sudah dilanggar,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon filem Syaitan Munafik itu, sekiranya lafaz dalam video itu tidak diterima mahkamah, tuntutan akan diteruskan menerusi peruntukan undang-undang lain.

Jika ayat lafaz itu dianggap tidak sah, kes perlu diteruskan di bawah Seksyen 47, iaitu tuntutan cerai kerana tiada persefahaman.

“Hari ini saya berharap segalanya dapat diselesaikan. Terus terang, saya sudah tidak sabar menunggu pengesahan,” ujarnya.

Linda turut menegaskan keputusan memfailkan tuntutan dibuat selepas memikirkan masa depan diri serta anak-anak dengan sebaiknya.

“Semuanya kembali kepada undang-undang.

Kita cuma ikut proses dan selesaikan mengikut hukum Islam,” jelasnya.

Aktres itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 11.50 pagi dengan ditemani beberapa rakan rapat yang setia memberi sokongan sejak kemelut rumah tangganya tercetus.

Sementara itu, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, hadir kira-kira 10 minit kemudian dan enggan mengulas panjang, sebaliknya berharap segala urusan dipermudahkan.

Dalam suasana terkawal, kedua-dua mereka sempat bertegur sapa sebelum melangkah ke dewan bicara.

Sejak Januari tahun lalu, rumah tangga pasangan ini menjadi perhatian umum selepas Linda memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.

Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun rujuk semula pada 9 April tahun sama serta membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak.

Bagaimanapun, Linda mendakwa perceraian berlaku sekali lagi beberapa bulan selepas rujuk sebelum pasangan itu kembali bersama dalam tempoh singkat.

Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata perempuan iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, serta Indah Camelia, 6 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok