PELAKON dan pengacara Awal Ashaari mengakui teringin menambah bilangan ahli keluarganya.
Bagaimanapun, Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Haji Ashaari, 44, menegaskan keputusan tersebut perlu mengambil kira faktor usia, kewangan serta kesediaan anak-anaknya.
“Memang ada keinginan (anak). Kita sebagai manusia, macam Scha (isteri) cakap faktor umur, kewangan dan kesesuian kena tengok sebab kami pernah ada anak yang jaraknya jauh.
“Bukan kita saja yang bersedia, anak-anak kita pun kena bersedia untuk tiba-tiba menyambut kedatangan seorang lagi adik baru. Saya pun bukan muda lagi.
Tidak menolak, kalau ada alhamdulillah. Kadang nak kata faktor umur, ada orang berumur dikurniakan rezeki (anak). Kalau tanya saya, satu lagi pun seronok juga,” katanya kepada HibGlam ketika majlis pelancaran koleksi beg terbaharunya, The Nexx , semalam.
Dalam masa sama, pelakon filem Impak Maksima itu mendedahkan perkara tersebut turut dibincangkan bersama suri hatinya yang juga pelakon Scha Alyahya, terutamanya melibatkan persediaan fizikal isterinya itu sebagai seorang wanita.
Ada bincang, hujung tahun hari itu pun Scha tanya betul ke nak sebab sebagai wanita dia kena bersedia dengan vitamin, tak boleh terlalu lasak, dia kan pergi gimnasium dan buat intensif workout.
“Kalau nak (anak), kena cakap betul-betul sebab dia nak rancang rutin dia. Apa pun bergantung kepada rezeki,” jelasnya.
Selain itu, Awal juga mengakui dirinya lebih gemar melayan bayi berbanding Scha yang selesa dengan anak-anak yang sudah besar.
“Saya suka budak-budak, berbeza dengan Scha. Dia suka anak yang dah besar, boleh susun atur mereka.
Tapi saya suka bayi, boleh gomol, main, geletek atau tiup-tiup perut dia. Sekarang bila tak ada benda nak buat, saya macam tak tahu apa nak buat,” selorohnya.
Sementara itu, pemilik nama lengkap Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, mengakui mempunyai keinginan sama tetapi faktor usia menjadi pertimbangan utama sebelum memutuskan sebarang keputusan.
“Saya dah banyak kali bercakap dengan Awal isu yang mana saya pun kadang-kadang teringin (tambah anak).
Tapi saya dah menjangkau usia 40-an, saya rasa kalau ada rezeki saya tak menolak tapi saya tidak mencubalah sangat.
“Kalau ada, ada. Saya reda saja kalau tak ada, tidak mahulah kata tutup kilang, cuma tengok umur macam boleh lagi ke?,” tuturnya.
Untuk info, Awal dan Scha yang diijabkabul pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dikurniakan dua cahaya mata iaitu Lara Alana, 12, dan Lyla Amina. 5. – HIBGLAM
