ANAK sulung pasangan selebriti terkenal dunia, David dan Victoria Beckham iaitu Brooklyn Beckham mendedahkan hubungan dengan orang tuanya itu semakin memburuk ibarat tidak akan berpatah arang demi menyelamatkan maruah isteri, Nicola Peltz.
Brooklyn menerusi luahan perasaan panjang lebar di Instagram berkata, dia sudah terlalu banyak bersabar dengan ibu bapanya yang selama ini hanya mementingkan soal reputasi, imej dan kekayaan sehingga membelakangkan perasaan menantu sendiri.
Bekas model berusia 27 tahun itu juga menafikan dakwaan ibu bapa kononnya keluarga isterinya menjadi dalang runtuhnya hubungan kekeluargaan antara mereka.
“Naratif yang kononnya isteri saya mengawal saya adalah sangat (bertentangan) tidak betul. Bahkan, saya yang dikawal mereka hampir sepanjang hidup.
Saya hidup dalam kerisauan yang tidak berkesudahan. Buat kali pertama dalam hidup, sejak menjauh daripada mereka, anxiety (kebimbangan melampau) itu telah hilang.
‘Sekarang setiap kali bangun tidur, saya bersyukur dengan hidup yang telah saya pilih. Saya jumpa hidup yang aman dan lega,” kata Brooklyn.
Menurut Brooklyn lagi, keluarganya mengutamakan promosi awam dan sokongan jenama melebihi segala-galanya.
“Jenama ‘Beckham’ sentiasa didahulukan. Kononnya ‘kasih sayang’ keluarga diukur berdasarkan sejauh mana anda kerap membuat hantaran dalam media sosial, atau seberapa pantas anda sanggup meninggalkan segala urusan untuk hadir dan bergambar bersama keluarga, walaupun menjejaskan tanggungjawab profesional kami.
Selama bertahun-tahun, kami sanggup bersusah payah hadir memberi sokongan di setiap pertunjukan fesyen, setiap majlis dan setiap aktiviti media demi menampilkan imej ‘keluarga sempurna’.
“Namun, apabila isteri saya meminta sokongan ibu saya untuk membantu menyelamatkan anjing-anjing yang terpaksa dipindahkan akibat kebakaran di Los Angeles, ibu saya menolak,” dedah Brooklyn lagi.
Kesabaran semakin menipis, Brooklyn juga menyatakan, isterinya tidak mempunyai tempat dalam keluarga Bekcham dan sering dipandang rendah terutama oleh orang tuanya itu.
Tambahnya, ibunya acapkali cuba mensabotaj perkahwinannya dengan mengaitkan bekas-bekas teman wanita dalam kehidupan sekarang ibarat cuba memporak-porandakan rumah tangganya dengan isteri, Nicola.
“Isteri saya sering dipandang rendah dan tidak dihormati oleh keluarga saya, walau sekuat mana pun kami cuba untuk bersatu sebagai satu keluarga.
Ibu saya berulang kali menjemput wanita-wanita daripada masa silam saya kembali hadir dalam kehidupan kami, dengan cara yang jelas bertujuan untuk membuatkan kami berdua berasa tidak selesa.
“Walaupun begitu, kami tetap sanggup terbang ke London sempena hari jadi ayah saya, namun kami seolah-olah dipulaukan selama seminggu apabila terpaksa menunggu di bilik hotel sambil cuba merancang masa berkualiti bersamanya,” katanya.
Brooklyn berasa penghinaan terbesar datang daripada orang tuanya sendiri apabila menidakkan hak Nicole sebagai seorang menantu dalam untaian insiden melibatkan mereka.
“Semua usaha kami ditolak, kecuali jika melibatkan majlis hari jadinya yang besar dengan ratusan tetamu dan kamera di setiap sudut.
Apabila dia (Victoria) akhirnya bersetuju untuk berjumpa saya, ia datang dengan syarat Nicola tidak dibenarkan hadir. Itu benar-benar satu penghinaan. Selepas itu pula, apabila keluarga saya datang ke Los Angeles, mereka langsung enggan berjumpa saya,” katanya lagi.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan persengketaan Brooklyn Beckham dengan ibu bapanya semakin ‘tidak terkawal’.
Konflik berpanjangan Brooklyn dengan ibu bapanya, David dan Victoria Beckham terus menjadi perhatian umum apabila keadaan menjadi semakin tegang selepas peguam terlibat.
Laporan mendakwa Brooklyn menghantar surat undang-undang kepada ibu bapanya walaupun mereka berharap hubungan itu dapat diperbaiki.
Brooklyn dan Nicola menetap di Amerika Syarikat sejak perkahwinan mereka pada 2022.
Anak sulung David dan Victoria itu dilaporkan semakin rapat dengan keluarga isterinya, termasuk bapa Nicola, pelabur bilionair Nelson Peltz yang memberinya nasihat dan sokongan dalam bidang perniagaan.
Media mendakwa hubungan antara kedua-dua keluarga sudah dingin sebelum Nicola berkahwin dengan keluarga Beckham kerana mereka datang daripada latar belakang sangat berbeza. – HIBGLAM
