Takkan berundur, T-Rex Kamikaze kembali ‘menyala’

TIADA istilah berundur, penyanyi Terence Law atau lebih dikenali sebagai T-Rex Kamikaze kembali menghangatkan persada muzik perdana bersama EP berjudul T-Rex Kembali Menyala.

Bekas vokalis kumpulan Kamikaze itu berharap rangkaian dendangan di bawah konsep EP atau Extended Play mampu mengingatkan kembali penggemar genre rock terhadap dirinya.

Selepas bergerak solo dan kemudian beberapa tahun ligat di pentas pusat hiburan, kini tiba masa untuknya kembali berkongsi seleksi baharu buat semua penggemar muzik.

“Penghasilan EP ini bukan tentang mengejar trend atau membuktikan sesuatu, sebaliknya tentang bangkit semula dan membiarkan muzik berbicara dengan caranya sendiri.

“Pendengar muzik perlu menikmati isi setiap dendangan untuk mendalami dan mentafsir apa yang ingin saya disampaikan,” katanya.

Menurut penyanyi yang melangkah ke arus muzik perdana pada tahun 2000 itu, pertaruhan dalam EP ini adalah single utama Revive yang membawa makna kesinambungan seni.

Katanya, secara keseluruhan, T-Rex Kembali Menyala menjadi refleksi ketahanan diri, kebangkitan semula dan perjalanan peribadi diri yang diterjemahkan secara jujur dan beremosi.

“EP ini memuatkan lima lagu yang menggambarkan fasa perjalanan seni dan kehidupan saya bersama Revive juga karya pertama yang melambangkan kepulangan saya.

“Begitupun, secara peribadi buah tangan kali ini bukan sebagai penjenamaan semula, sebaliknya kesinambungan suara yang tidak pernah hilang,” ungkapnya.

Mengimbas sejarah lalu, namanya bukan asing dalam landskap muzik rock tempatan apatah lagi bersama Kamikaze mereka pernah meraih trofi Anugerah Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001.

Mereka pernah mencipta fenomena ketika suatu ketika dulu menerusi lagu popular termasuk Luhur, Tawa Dalam Tangisan dan Pergi Selamanya.

Biarpun berbangsa Tionghua, keupayaan T-Rex menghayati seleksi berbahasa Malaysia dengan penuh emosi menjadikannya antara penyanyi bukan Melayu yang disegani dalam arena muzik rock tempatan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok