MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam meluluskan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah yang difailkan pengacara dan pelakon, Raja Azura terhadap bekas suami, Adzmin Osman.
Kebenaran itu diputuskan Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim selepas berpuas hati dengan penjelasan dan keterangan yang dikemukakan Raja Azura sepanjang prosiding berlangsung, hari ini.
Peguam Syarie mewakilinya, Mohammad Amirul Hanizan, berkata, permohonan itu membabitkan pelaksanaan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2010 membabitkan nafkah anak serta nafkah idah yang didakwa masih gagal dilunaskan Adzmin selaku responden sehingga sekarang.
“Hari ini adalah tarikh keputusan bagi permohonan pemohon untuk memulakan pelaksanaan perintah mahkamah berkaitan nafkah anak dan nafkah idah.
“Apabila sudah dapat kelulusan mahkamah, kami akan memfailkan saman menyeru responden hadir ke mahkamah dan maklumkan di hadapan hakim tentang kemampuannya untuk melunaskan tunggakkan nafkah dan menjelaskan punca dia tidak melaksanakan tanggungjawab.
Alhamdulillah. Keputusan hari ini positif apabila mahkamah meluluskan kebenaran memulakan tindakan pelaksanaan penghakiman, iaitu saman terhadap penghutang penghakiman bagi menuntut tunggakan nafkah daripada pihak responden,” katanya selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Menurut Mohammad Amirul, kebenaran mahkamah itu perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum pihaknya dapat memulakan sebarang tindakan lanjut.
Hakim juga berpuas hati dengan permohonan yang dikemukakan serta memberikan nasihat secara umum agar perintah nafkah yang telah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan.
“Sekiranya perintah tersebut tidak dipatuhi, proses tuntutan akan menjadi lebih panjang dan menyukarkan semua yang terlibat,” ujarnya.
Mengenai langkah susulan, Mohammad Amirul berkata, pihaknya akan memfailkan saman bagi memanggil responden hadir ke mahkamah untuk memberikan penjelasan berhubung kegagalan melaksanakan perintah nafkah serta menyatakan kemampuan pembayaran.
Setakat ini, responden masih belum dapat dikesan, namun usaha akan diteruskan bagi menjejaki beliau dan memastikan saman tersebut dapat diserahkan,” ujarnya.
Pada masa sama, satu permohonan baharu akan dibuat bagi mendapatkan saman rasmi mahkamah, manakala kaedah pembayaran pula boleh dilaksanakan tertakluk kepada keputusan mahkamah serta kemampuan responden.
Mengenai kaedah pembayaran, itu bergantung kepada pertimbangan dan keputusan mahkamah. Apa yang penting, responden perlu melaksanakan pembayaran nafkah mengikut kemampuan.
“Mahkamah juga bersikap terbuka terhadap sebarang cadangan daripada kedua-dua pihak, asalkan perintah penghakiman itu dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Raja Azura atau Kak Engku berkata, sebelum ini dia turut membuat permohonan melalui iklan bagi memanggil bekas suaminya hadir ke mahkamah, namun usaha itu tidak berhasil.
Kami memohon melalui iklan agar dia hadir ke mahkamah, tetapi mungkin dia enggan berjumpa saya atau mungkin ada sebab lain yang saya sendiri tidak tahu.
“Apa yang diminta hanya kehadirannya untuk mengakui bahawa perintah nafkah itu tidak dilaksanakan, namun pada tarikh ditetapkan pun dia tidak hadir,” katanya.
Susulan itu, Raja Azura berkata, satu lagi permohonan dibuat bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk melaksanakan penghakiman.
“Peguam saya memohon kebenaran hakim agar saya diberikan ‘lesen’ untuk membuat tuntutan ini. Alhamdulillah, walaupun banyak pertanyaan dikemukakan Yang Arif, saya menjawab dengan tenang dan bersyukur keputusan memihak kepada saya.
Nafkah ini adalah kewajipan, bukan sekadar tuntutan undang-undang, malah perintah Allah SWT yang seharusnya dilaksanakan tanpa perlu menunggu tindakan mahkamah,” katanya.
Terdahulu, pada 10 September lalu, Raja Azura memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya hasil perkahwinan dengan Adzmin, yang didakwa culas membayar nafkah mengikut perintah mahkamah sejak mereka bercerai 15 tahun lalu.
Raja Azura dan Adzmin juga anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada 2001 sebelum berpisah pada 28 September 2010.
Perkahwinan mereka dikurniakan tiga anak, Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21. – HIBGLAM
