10 orang siapkan busana songket hijau Legacy 30 Siti Nurhaliza

KONSERT Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari lalu bukan sekadar tiga dekad kegemilangan Biduanita Negara, bahkan mencipta momen bersejarah buat pereka fesyen dari Melaka, Bianca Bella.

Ini kerana busana songket rekaan mereka dipilih untuk digayakan pada segmen penutup persembahan mega yang menghimpunkan lebih 65,000 penonton itu.

Pengasas Bersama Bianca Bella, Amirul Safwan Nordin, 29, berkata, bermula dengan satu mesej WhatsApp dua bulan sebelum konsert berlangsung apabila pengurus Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak meminta mereka mencari material songket hijau.

Kami benar-benar tidak sangka. Pada saat itu, kami sedar ini bukan busana biasa, ini adalah busana untuk satu sejarah besar,” kongsinya.

Susulan itu, pihaknya bertemu Siti Nurhaliza dan Rozi proses lakaran dan busana hijau pada persembahan penutup Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza merupakan hasil cernaan idea bersama-sama.

Amirul Safwan memaklumkan, konsep rekaan busana terbabit mengambil inspirasi pakaian tradisi Puteri Perak dipadankan dengan sentuhan serta elemen ‘Miss World’, menggunakan material songket tempatan dengan perincian manik jahitan tangan.

Paling penting potongan yang kami siapakan sesuai dengan pergerakan Siti Nurhaliza yang perlu lincah menari dan beraksi di pentas,” katanya.

Persiapan penghasilan busana berkenaan pula mengambil masa hampir sebulan, dengan seluruh pasukan Bianca Bella bekerja tanpa henti sehingga ke hari konsert.

“Tekanan dilalui besar, lebih-lebih lagi apabila busana itu dipilih untuk segmen penutup iaitu bahagian paling dinanti dan diingati peminat.

Ini konsert 30 tahun perjalanan seni TokTi. Persoalan ‘boleh ke kami buat?’ sentiasa bermain di fikiran. Ada malam kami langsung tak lena tidur memikirkannya,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, segala kegusaran terlerai apabila persalinan songket itu menerima pujian sewaktu raptai penuh.

Lebih manis, suami penyanyi kesayangan ramai itu, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut memuji selain menyifatkan bahan, rekaan dan perinciannya tampak sangat mewah serta menyerlah di pentas gergasi.

Katanya, kemuncak sebenar tiba pada malam konsert apabila Siti Nurhaliza menyarungkan persalinan songket hijau itu pada segmen penutup dan melakukan aksi lompat keluar ke atas pentas.

Bahkan katanya, momen spontan yang luar biasa itu terus menjadi bualan hangat peminat serta tular di media sosial sehingga ke hari ini.

Baginya, busana tersebut bukan sahaja mengiringi detik penamat aksi mega itu, malah menjadi saksi kepada satu momen ikonik dalam sejarah kerjaya Biduanita Negara.

“Melihat rekaan kami dipakai pada detik penutup dan merakam momen itu secara langsung di hadapan puluhan ribu penonton adalah sesuatu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Malah saya dan pasukan yang terdiri daripada 10 orang semuanya masih terasa bagaikan mimpi idola yang kami lihat ketika masih budak hingusan kini menyarung baju yang kami siapkan sekali gus kami menjadi sebahagian sejarah kerjaya seni penyanyi nombor satu negara,” katanya.

Bianca Bella turut berkongsi satu kisah bermakna yang menggambarkan keperibadian Siti Nurhaliza di sebalik kemegahan pentas.

Menurutnya, penyanyi itu sendiri pernah menawarkan untuk membawakan mesin jahit dari rumah bagi memudahkan sebarang kerja alterasi pada hari konsert.

Tak mudah seorang Biduanita Negara sanggup bawa mesin jahit sendiri ke belakang pentas. Itulah sebabnya beliau disayangi semua,” ceritanya.

Terdahulu, butik Bianca Bella yang ditubuhkan pada 2022 di Duyung, Melaka mula meraih perhatian selepas menghasilkan persalinan merah untuk Siti Nurhaliza sempena Tahun Melawat Melaka 2024 bagi persembahan Senandung Anak Melaka dan Kurik Kundi.

Momen tersebut tular seterusnya membuka pintu kepada pelbagai tawaran lain, termasuk busana songket untuk Konsert Legacy 30 serta beberapa video muzik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok