Siti Nurhaliza balik kampung Dubai usai konsert besar

SELEPAS merealisasikan konsert berskala mega, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dilihat mengambil kesempatan meluangkan masa berehat bersama keluarga di Dubai.
Menariknya, Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, difahamkan pulang ke kediamannya yang terletak di The Address, Dubai Mall, sekali gus mencuri perhatian peminat.
Rata-rata peminat tidak ketinggalan meninggalkan komen berseloroh dan teruja melihat perkongsian penyanyi kesayangan mereka itu.
“Tokti balik kampung ‘guys’,” seloroh peminat.
Seronoknya Tokti balik rumah Dubai, tolong buat ‘house tour’. Kami nak tengok,” ujar pengikut.
“Wah tiba-tiba dah sampai di Dubai. Selamat bercuri Kak Iti dan keluarga,” ujar peminat lain.
Sebelum itu, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu memuat naik video ‘boomerang’ anak lelakinya, Afwa ketika berada di dalam kapal terbang.
Dalam hantaran tersebut, penyanyi kesayangan ramai itu hanya memohon doa orang ramai agar perjalanan mereka selamat pergi dan pulang tanpa mendedahkan destinasi sebenar.
“Bismillah, selamat malam semua. Doakan perjalanan Afwa selamat pergi dan pulang,” katanya ringkas.
Pada 10 Januari lalu, Siti sekali lagi mencipta kejayaan menerusi Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dibanjiri 65,000 penonton.
Untuk rekod, konsert paling ramai bilangan penonton di Malaysia masih dipegang Coldplay menerusi Coldplay: Music of the Spheres dengan lebih 81,000 penonton.
Bagaimanapun, dengan penganjuran Legacy 30 Siti Nurhaliza menjadikan penyanyi lagu Cindai itu satu-satunya penghibur memiliki dua konsert dihadiri lebih 65,000 di Malaysia selepas mencipta rekod terdahulu, Siti Nurhaliza: Fantasia Tour pada 2004 (70,000 penonton). – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok