DI sebalik kilaunya populariti dijulang, ada ruang sunyi yang sering tidak terlihat mata khalayak.
Di situlah seorang wanita belajar memujuk hati sendiri, berdamai dengan doa tertangguh dan menerima hakikat hidup tanpa dendam terhadap takdir.
Bagi sesetengah insan, bahagia hadir dalam bentuk kerjaya cemerlang dan cinta berpasangan, namun buat segelintir yang lain, bahagia terasa belum lengkap selagi tangisan seorang anak belum bergema dalam rumah sendiri.
Itulah perjalanan jiwa dilalui penyanyi dan pelakon popular, Elizabeth Tan. Senyuman manis sering terukir di wajah, namun di balik ketenangan itu tersimpan harapan besar, doa panjang serta penantian penuh kesabaran.
Bicara soal peribadi bukan perkara mudah, namun jika dibiarkan terlalu lama, lara dalam jiwa boleh semakin membarah.
Tipu andai tidak berkali-kali mencuba malah pelbagai kaedah telah dilakukan, namun rezeki cahaya mata masih belum hadir sebagai penyeri rumah tangga Elizabeth Tan bersama suami tercinta, Dr. Siew Jim Ding.
Sejujurnya kami sudah mencuba selama dua tahun untuk mendapatkan anak, tetapi belum berjaya.
“Tak mengapa, mungkin belum rezeki saya sekarang. Saya tunggu sampai tuhan berkata ya,” katanya kepada HibGlam.
Paling penting kata pelantun lagu Semua Sudah itu, dia menetapkan Jun tahun ini sebagai penanda aras buat dirinya.
“Jika masih belum berjaya, saya akan mencuba rawatan persenyawaan in-vitro atau IVF. Tahun ini usia saya sudah 33 tahun, jadi saya tidak mahu menunggu terlalu lama.
Jun nanti saya akan jalani IVF. Tempat pun sudah dikenal pasti. Proses itu memerlukan rehat panjang kerana perlu suntikan hormon.
“Saya risau juga kesan sampingan seperti kulit terjejas, berat badan naik. Banyak masa perlu berehat dan tak boleh terlalu aktif,” ujarnya,

PADA usia 33 tahun, Elizabeth Tan semakin matang dalam urusan rumah tangga, terutama menjaga emosi dalam penantian dihadirkan seorang anak sebagai pelengkap hidup.
Tambah Elizabeth yang mesra disapa Lizzy itu, faktor jarak turut memberi cabaran apabila suaminya kini bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Tapah, Perak.
Saya akan pergi jumpa dia bila ada masa, dan dia pula ulang-alik ke Kuala Lumpur. Memang agak susah. Bulan depan dia akan berpindah semula ke sini, mungkin lebih mudah.
“Sebelum ini berjauhan mungkin salah satu punca juga,” kongsinya.
Keinginan memiliki zuriat semakin membuak kerana cintanya terhadap kanak-kanak serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga.
Kadang-kadang rasa malu juga. Terlintas soalan, kenapa badan saya tidak boleh mengandung? Orang luar pun akan bertanya.
“Tapi saya faham, ini kehidupan. Saya bersyukur kerana tiada yang menyindir atau memperlekehkan. Semua memberi sokongan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Elizabeth mengakui rindu untuk kembali membuat persembahan selepas lama berehat demi komitmen lakonan.
“Saya harap tahun ini ada rezeki untuk saya kembali membuat persembahan. Belum ada perancangan mengeluarkan single baharu. Cuma harapan saya, dapat menyanyi semula di atas pentas,” tutupnya. – HIBGLAM
