RAMAI talam dua muka, pelakon Riena Diana mendedahkan dia dan kekasih, Keith Foo pernah menjadi sasaran umpatan individu dalam industri seni meskipun tidak mempunyai hubungan rapat dengan pihak terbabit.
Ujar Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 29, perkara tersebut diketahui selepas menerima maklumat daripada kenalan, sekali gus membuka mata tentang sisi gelap dunia hiburan.
“Saya pernah dapat tahu ada orang mengata saya dan Keith, orang industri juga.
“Sedangkan kami tidak kenal dia secara dekat. Saya tahu dia sebagai figura awam sahaja, setakat itu,” katanya dalam Threads.
Pun begitu, Riena enggan mendedahkan identiti individu terbabit bagi mengelakkan situasi menjadi lebih keruh, namun pengakuan tersebut tetap mengundang pelbagai reaksi khalayak.
Tambah pelakon drama Kampung People itu, dia tidak mahu mengambil serius perkara berkenaan malah memilih untuk berlapang dada dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Saya mampu gelak sahaja. Dari situ saya sedar memang wujud manusia ‘palsu’.
“Bila jumpa depan-depan, manis bukan main, siap doakan hubungan kami.
“Padahal saya dan Keith tahu cerita sebenar dia mengata kami. Jadi kami berdua hanya mampu senyum dan gelak,” ujarnya.
Rata-rata netizen tampil memberikan sokongan serta meluahkan pandangan mengenai sikap segelintir insan industri.
“Dunia seni memang penuh lakonan, bukan depan kamera saja. Dah nama pun pelakon, memang berlakon la kerjanya,” komen netizen.
“Depan puji, belakang tikam. Biasalah bukan dalam industri seni sahaja, bidang lain pun sama juga,” tulis pengikut.
“Yang penting terus fokus kerjaya dan jangan pedulikan manusia bermuka dua, lama-lama mereka sendiri akan menjauh dan terkena balasan,” kata pengguna media sosial.
Isu tersebut bukan perkara baharu dalam kalangan selebriti tanah air malah sebelum ini pelakon Reen Rahim dan Nad Zainal turut pernah berkongsi pengalaman berdepan sikap ‘talam dua muka’ dalam industri, sekali gus mengingatkan rakan seperjuangan agar sentiasa berhati-hati dalam memilih kepercayaan. – HIBGLAM.
