PELAKON Janna Nick menegur sikap segelintir netizen yang melakukan kempen memboikot jenama tertentu hanya secara bermusim.
Menurut pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner, 31, perkara tersebut disuarakan selepas melihat individu yang sebelum ini lantang mengecam selebriti menyepi ketika isu boikot tidak lagi diperdebatkan dalam media sosial.
“Maaf nak tanya netizen, boikot ini hanya bermusim ke?
Tidak membenci artis dan pempengaruh yang menerima tawaran kerja produk boikot cuma tertanya-tanya di mana integriti, kejujuran dan kegigihan netizen?
“Atau hari itu cuma sertai kelompok boikot sebab mahu tunggang isu yang sedang trending? Hipokrit ya?” katanya dalam Threads.
Ujarnya, setiap individu bebas memilih sama ada mahu memboikot atau tidak namun meminta agar berhenti mengecam sekiranya terdapat selebriti atau pempengaruh melakukan sebaliknya.
“Kita tak boleh kawal pilihan orang lain tetapi boleh lakukan pada diri sendiri.
Jadi, kalau ada artis atau pempengaruh terima kerja berkaitan produk boikot, kalian jangan kecam lebih-lebih semata-mata nak tunggang isu.
“Sebab di sini, saya tegaskan yang ketika isu boikot sedang sepi, kalian senyap!” ujarnya.
Perkongsian Janna meraih perhatian dan respon daripada netizen yang rata-rata bersetuju dengan perkara tersebut.
Dalam ruangan komen, terdapat juga netizen yang kecewa isu boikot sudah kurang diperkatakan dalam media sosial ketika ini. – HIBGLAM
