Gangguan pita suara, enam penyanyi ‘hilang taring’

PENDEDAHAN penyanyi Indonesia, Nadin Amizah mengenai gangguan saraf pada pita suara membuka mata ramai tentang risiko kesihatan yang sering dihadapi penyanyi profesional, khususnya mereka yang menggunakan suara secara intensif dalam tempoh panjang.

Nadin, 25, berkongsi dia sering mengalami sakit yang teruk pada bahagian leher selain menghadapi kesukaran untuk mencapai nada tinggi ketika bernyanyi.

Walaupun begitu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Bertaut itu menegaskan bahawa dia masih boleh menyanyi dan memilih untuk terus tampil di atas pentas sambil meneruskan proses pemulihan.

Masalah pita suara bukan isu baharu dalam industri hiburan Indonesia terutamanya melibatkan penyanyi.

Malah, beberapa nama besar pernah berdepan situasi serupa sehingga menjejaskan kualiti vokal, jadual persembahan dan kelangsungan kerjaya seni mereka.

Ari Lasso

TAHUN 2024 merupakan tempoh sukar bagi penyanyi Ari Lasso apabila terpaksa berehat dari dunia nyanyian berikutan masalah pita suara yang serius.

Disebabkan hal itu, Ari atau nama penuhnya Ari Bernardus Lasso, 52, terpaksa membatalkan beberapa konsert yang sudah dirancang termasuk penampilan di JBL Festival 2024 yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.

Bekas vokalis Dewa 19 itu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci berapa lama tempoh berehat bagi memulihkan pita suaranya.

Tahun berikutnya, Ari dilihat kembali aktif menjayakan persembahan selepas vokalnya semakin pulih.

Judika

SELEPAS mengalami masalah pada pita suara akibat penggunaan vokal berlebihan ketika persembahan, penyanyi Judika mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi pada 2022.

Akui pemilik nama penuh Judika Nalom Abadi Sihotang, masalah tersebut membuatkan dirinya rasa sakit ketika menyanyi terutamanya lagu bernada tinggi.

Menurutnya, keletihan suara menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah itu.

Malah, Judika menegaskan tiada rawatan khusus selain berehat sepenuhnya daripada aktiviti nyanyian.

Pada masa sama, penyanyi berusia 47 tahun itu memaklumkan akan berehat sehingga awal tahun 2023 memandangkan sudah mempunyai perancangan untuk kerjaya seninya.

Syahrini

PENYANYI Syahrini mengalami masalah serius pada pita suara sehingga menyebabkan dia panik dan terpaksa menjalani rawatan khas bagi memulihkan kembali vokalnya.

Masalah tersebut dialami sekitar 2016 apabila pemilik nama sebenar Rini Fatimah Zaelani itu menyedari perubahan ketara pada suaranya sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan kariernya.

Pelantun lagu Menikah itu kemudian lebih
berhati-hati menggunakan suaranya dan mengambil langkah penjagaan yang lebih teliti demi mengekalkan kualiti vokal yang menjadi aset utama kerjayanya sebagai penyanyi.

Indah Maliq & D’Essential

PADA 2013, kumpulan Maliq & D’Essential terpaksa bergerak tanpa seorang ahli iaitu Indah kerana perlu berehat demi menjalani terapi akibat masalah pita suara.

Gangguan tersebut disahkan doktor sebagai varises (pembuluh darah vena membengkak) di sekitar pita suara kerana

penggunaan suara secara berlebihan atau tekanan ketika menyanyi dalam tempoh yang lama.
Kesannya, Indah atau nama asalnya Rivani Indriya Suwendi, 45, mengalami kesukaran untuk menyanyi sehingga terpaksa berehat seketika demi proses pemulihan.

Selepas lebih daripada enam bulan tidak menyanyi, Indah kembali beraksi bersama kumpulannya.

Virgoun

DISEBABKAN penggunaan vokal secara berlebihan, penyanyi Virgoun berdepan masalah kesihatan apabila disahkan mengalami benjolan kecil pada pita suara.

Tambah Virgoun atau Muhammad Virgoun Putra Tambunan, tekanan menyanyi lagu bernada tinggi secara berterusan memberi cabaran apatah lagi dengan faktor usia yang semakin meningkat menjejaskan kekuatan suaranya.

Penerbit kumpulannya iaitu Last Child mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan vokal Virgoun, terutama ketika dia menggunakan teknik falsetto.

Susulan masalah itu, rakaman single kemunculan semula Last Child yang dinanti-nantikan peminat terpaksa ditangguhkan.
Difahamkan, pelantun lagu Surat Cinta Untuk Starla itu kini sedang mendapatkan rawatan di Pulau Pinang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok