SINONIM sebagai pelakon yang menjaga eksklusiviti dan disiplin ‘calltime’ penggambaran, seperkara yang cukup kuat menjadikan Fasha Sandha seorang yang disenangi penggiat industri adalah sikap tidak pernah memilih, sama ada hero atau siapa pun untuk bergandingan dengan dalam sesebuah karya.
Begitu juga dalam drama Doa Yang Terlindung yang kini sedang bersiaran di slot Akasia TV3, Fasha atau nama Nur Fasha Sandha Hassan, 42, bergandingan dengan pelakon, Firdaus Karim.
Pemilihan Firdaus sebagai watak utama bagaimanapun dipersoalkan netizen dan dikatakan tidak sesuai menjadi hero.
“Saya rasa tidak wajarlah kita mempersoalkan pemilihannya sebagai seorang hero.
“Saya percaya dia berbakat, ada usaha untuk melakukan yang terbaik dan dia adalah pelakon yang menepati kehendak skrip,” katanya yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta terbaharu Dunia Herbs baru-baru ini.
Tambah Fasha, penonton mungkin masih belum dapat merasai kekuatan watak tersebut memandangkan drama itu baru disiarkan.
“Mungkin sekarang penonton belum dapat rasa sebab baru empat episod. Selepas skrip mula berkembang, mungkin penonton akan terima Firdaus Karim sebagai hero saya,” jelasnya.
Sebagai pelakon Fasha meletakkan kepercayaan penuh kepada penerbit, pengarah dan pihak stesen televisyen yang dianggap lebih arif dalam membuat keputusan terbaik demi sesebuah naskhah.
“Saya percaya penerbit, pengarah dan pihak stesen akan memilih hero yang sesuai untuk digandingkan bersama saya,” katanya.
Mengulas soal rupa paras dalam industri hiburan, Fasha mengakui perkara tersebut adalah satu topik yang sangat subjektif.
“Setiap orang ada cantik dan kacak dengan cara tersendiri. Mungkin pada sesetengah orang dia tidak kacak, tapi pada orang lain dia kacak.
“Kalau hendak masuk industri hiburan, memang rupa penting sebagai pakej, tetapi bakat nombor satu. Bakat boleh diasah,” ujarnya.
Mengimbas kisah lalu, Fasha mengakui sering kali hadir ke set penggambaran tanpa mengetahui siapakah hero yang bakal digandingkan dengannya.
Ketika terlibat dalam drama Dendam Seorang Isteri bersama Wan Raja dan Lara Aishah bersama Nazim Othman, semuanya diterima dengan hati terbuka.
“Saya ini pelakon, bila diberi peluang berlakon dalam sesuatu karya, saya tak pentingkan untuk tahu siapa heronya. Bila datang set, itulah hero saya dan saya terima,” ujarnya ringkas.
