DEMI keselesaan anak, bekas isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah membeli kenderaan elektrik (EV) nasional, Proton e.MAS 7 yang digunakan untuk berulang alik ke sekolah.
Pemilik nama lengkap Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, berkata kereta lama hadiah daripada bapanya yang berusia lebih sedekad sudah mula meragam, sekali gus memerlukan kos tinggi untuk pembaikan.
“Semua ini untuk kemudahan anak-anak. Musim sekolah sudah bermula, jadi soal logistik memang saya kena fikirkan sebab kereta sebelum ini perlukan kerja pembaikan.
“Memang saya lenjan kenderaan kesayangan saya itu untuk ke mana-mana terutama hantar dan ambil anak setiap hari. Senang pakir kerana Haval kecil tapi banyak jasanya kepada kami.
“Syukur pembukaan tahun baharu ini anak-anak dapat naik kenderaan lebih selesa. Secara peribadi saya anggap ini keperluan, bukan bermewah-mewah. Hasil simpanan sikit-sikit,” katanya kepada Kosmo! Online.
Terdahulu, berita mengenai doktor gigi itu membeli kereta baharu dikongsikan ibunya, Dr Zailah Zainudin dalam platform Threads.
Wanita terbabit memuat naik gambar Dr. Afifah atau mesra disapa Dr. Fie bersama jentera terbabit disertai kapsyen suntikan semangat buat anak sulungnya itu.
Dr. Zailah berharap Dr. Fie melihat setiap perubahan dalam hidup dari sudut positif iaitu peluang untuk sesuatu yang lebih baik.
Hantaran tersebut meraih perhatian netizen yang tumpang gembira melihat transisi ibu tunggal tiga anak itu selepas bercerai talak kali kedua dengan Nubhan pada 2 Disember tahun lalu.
Sementara itu, menerusi carian Kosmo! Online harga terkini Proton e.MAS 7 adalah antara RM110,000 hingga RM130,000 mengikut pilihan varian. – HIBGLAM
