Hanya beg tangan dijumpai, Seniman minta bantuan kerajaan kesan Nadia Kesuma

MASIH tiada berita, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengambil inisiatif meminta bantuan Kementerian Luar Negeri untuk mengesan keberadaan pelakon, Nadia Kesuma yang hilang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah, semalam.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, berkata dia bertemu sendiri dengan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

“Seniman mengambil maklum tentang pelakon Nadia Kesuma yang dikhabarkan hilang sejurus tiba di Jeddah pagi semalam pada jam 6.20 pagi waktu tempatan.

“Susulan itu, saya secara peribadi memaklumkan perkara tersebut pagi tadi di WTCKL kepada Datuk Seri Mohamad Hasan agar kementerian luar dapat membantu.

“Hasil data dan maklumat awal yang kami perolehi, dia sepatutnya menaiki penerbangan ke London pada pukul 8.30 pagi setelah transit sekitar dua jam di Jeddah,” katanya

Bagaimanapun, hanya beg tangan miliknya ditemui di lapangan terbang itu, manakala bagasi kargonya pula sudah selamat sampai di London.

Seniman difahamkan bahawa keluarga dan Konsulat Malaysia di Jeddah sudah membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa Arab Saudi menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang.

Pada masa sama, Seniman turut menjelaskan spekulasi mengenai kiriman pesanan WhatsApp terakhir Nadia kepada suaminya yang menyebut ‘I met stranger’ (Saya jumpa orang asing)

“Ayat itu sebenarnya merujuk kepada jemaah dalam kumpulan perjalanannya yang baru dikenali, bukannya bermaksud dia berjumpa dengan individu asing atau mencurigakan,” ujarnya.

Namun dia tidak menaiki pesawat untuk ke London dan tidak dapat dikesan setelah ke tandas sehingga beberapa kali dipanggil tetapi masih tidak muncul.

Persatuan turut berharap semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan selain menjaga sensitiviti keluarga yang berada dalam kerisauan.

“Kami percaya pihak berkuasa Arab Saudi akan bekerjasama rapat dengan Konsulat Malaysia untuk menjejaki keberadaan Nadia. Kami akan memaklumkan perkembangan serta mendoakan dia dalam lindungan Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, berita kehilangan Nadia dikongsikan rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), pelakon Anne Abdullah.

Sementara itu, agensi pelancongan yang membawa rombongan bakal jemaah disertai Nadia dalam kenyataan menegaskan masih berusah mengesan mangsa dengan bantuan beberapa pihak lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok