Kongsi foto berbusana pengantin, Ben Amir sudah nikah?

“TUNGGU bot sekejap.”

Demikian perkongsian gambar pelakon Ben Amir bersama kekasihnya, Liana Alara yang menggayakan persalinan tradisional seolah-olah busana pengantin.

Masih berteka-teki, hantaran dalam Instagram Ben atau nama sebenarnya Ben atau Muhammad Amir Sabaruddin, 36, mengundang perhatian apabila ramai menyangka mereka sudah bernikah.

Berlatarbelakangkan sebuah jeti ditempatnya bermastautin iaitu Pulau Siargau, Filipina, pasangan terbabit tampak manis bergaya dengan kekasihnya lengkap berselendang dan berbaju kurung, manakala Ben segak berbaju Melayu bersama songkok.

Menguatkan lagi telahan apabila pelakon filem Bomba: Legasi the Movie itu turut menyebut nama pereka fesyen Zaimi Zulkafli dipercayai yang menyiapkan persalinannya dengan Liana.

Bahkan, menjengah ke ruangan komen ramai pengikut termasuk rakan selebriti mengucapkan tahniah kepada Ben bersama pasangannya yang juga warga Filipina itu.

“Akhirnya, tahniah Kaef (nama watak),” tulis aktres Mimi Lana.

“Tahniah,” kata penyanyi, Nabila Razali.

Begitupun, Ben dilihat belum membalas komen serta memperincikan butiran foto berkenaan.

Sebelum ini, bekas peserta Hero Remaja itu tanpa berselindung mengakui hatinya sudah dimiliki Liana itu yang dikenali sejak dua tahun lalu.

Pada 10 November 2025, Ben berkongsi khabar gembira kekasihnya memeluk agama Islam namun belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok