Dibenci bawa watak dalang kes David Ozora, Annisa Kaila dicubit penonton

MEMBAWAKAN watak antagonis dalam filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel, pelakon Indonesia Annisa Kaila berdepan kecaman penonton yang membenci karakternya sebagai bekas kekasih teraju utama iaitu Astrid.

Anissa atau nama lengkapnya, Annisa Aurelia Kaila, 18, berkata, pernah dicubit seorang individu secara tiba-tiba ketika menghadiri tayangan perdana filem tersebut di Jakarta pada Disember tahun lalu.

“Sudah tentu saya terima pelbagai reaksi daripada penonton. Sewaktu tayangan perdana di Indonesia, ada juga makcik yang sempat mencubit saya kerana mendakwa terlalu geram.

“Mereka marah terhadap watak Astrid yang menjadi punca tercetusnya serangan terhadap David. Tidak mengapa, saya okey saja kerana itu bermakna lakonan saya menjadi.

“Saya juga terbuka berdepan setiap reaksi sama ada positif atau negatif,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel, di GSC MidValley, kelmarin.

Bagaimanapun, Annisa mengakui situasi itu agak mencabar apabila dia turut berterusan menerima pelbagai mesej serta komen negatif di media sosial.

“Tidak cukup mesej peribadi masuk berbaur kemarahan, dalam ruangan komen di Instagram pun saya dihujani kecaman.

“Semuanya sebab watak Astrid. Buatkan orang betul-betul benci, sedangkan itu bukan diri saya yang sebenar,” ujarnya.

Mengulas cabaran membawakan watak Astrid dalam naskhah bersandarkan kisah benar itu, dia mengakui proses mendalami karakter bukan mudah kerana keterbatasan maklumat.

“Susah sebenarnya. Untuk cari karakter dia memang mencabar. Pertama, saya tak pernah berjumpa dengan individu sebenar.

“Kedua, tiada rakaman video kerana ketika kejadian berlaku, dia masih di bawah umur dan semua akaun media sosial ditutup,” katanya lagi.

Pada masa sama, Astrid mendedahkan pada awalnya takut menerima tawaran filem tersebut memandangkan kisah yang dipaparkan berkait rapat dengan kes buli sebenar yang tular pada tahun 2023.

Namun, selepas mempertimbangkan tanggungjawab sebagai pelakon, Annisa nekad menerima watak tersebut demi menyampaikan mesej keadilan kepada masyarakat.

“Pertama kali mendapat tawaran filem ini saya diburu kebimbangan sebab maklum dan memang mengikuti kes David.

“Saya tidak menyangka dapat memegang watak dalang yang menjadi punca kepada serangan serta buli sehingga mengakibatkan mangsa koma hampir sebulan.

“Saya sempat fikir dulu sebelum terima kerana kes ini sangat viral dan bahaya, tetapi selepas difikirkan untuk apa saya takut? Kami hanya mahukan keadilan,” jelasnya.

Selain Annisa, filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel turut dibarisi Chicco Jerikho, Tika Bravani, Muzzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana dan Rizky Hanggono.

Filem yang diangkat daripada kisah benar seorang remaja bernama David Ozora ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 22 Januari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok