TULAR gambar resit hidangan di Rembayung, penyanyi Azza Elite tampil menegur seorang individu yang mempersoalkan harga makanan di restoran milik personaliti media sosial terkenal, Khairul Aming itu.
Azza atau nama lengkapnya, Noor Azzarima Zawari menyifatkan tindakan mempertikaikan harga makanan yang sudah dinikmati dalam media sosial sebagai perbuatan keterlaluan.
Nak makan sedap tapi kedekut. Nanti Allah tarik rezeki baru tahu. Jangan kedekut dengan diri sendiri.
“Kalau mampu makan, kalau tak mampu kita masak sendiri. Selesai,” katanya membalas ciapan individu terbabit dalam platform Threads.
Pada masa sama, anggota Elite itu tertanya-tanya niat sebenar pelanggan itu berkongsi resit pembayaran yang mencetuskan perdebatan ramai.
Kenapa nak kena tunjuk resit? Sebab nak hype (heboh)? Kau makan (restoran) Sukiya, Serai pun bil macam ini juga,” ujarnya.
Terdahulu, individu berkenaan memuat naik ciapan mempertikaikan harga makanan di restoran tersebut dengan nada sinis seolah-olah mempersoalkan sama ada premis itu membantu rakyat.
“Ini kedai idola awak semua? Nak tolong rakyat harga marhaen?” tulisnya.
Terdahulu, operasi Rembayung di Kampung Baru yang dibuka pada 6 Januari lalu mencetuskan sensasi ramai sehingga laman web restoran itu tergendala akibat trafik terlalu tinggi.
Selepas itu ramai berkongsi resit hidangan dinikmati mereka selain beberapa pengguna laman sosial lain pula mendakwa kadar dikenakan lebih rendah berbanding restoran lain. – HIBGLAM
