TIADA kompromi, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah memandang serius isu gangguan seksual serta mencela perlakuan berunsur pedofilia melibatkan pelakon kanak-kanak selain menggesa mangsa segera tampil membuat laporan rasmi.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Nafiah berkata, pendedahan dibuat seorang pelakon mengenai dakwaan diliwat pengarah ketika aktif sebagai pelakon kanak-kanak perlu disusuli tindakan formal bagi membolehkan siasatan dijalankan secara berhemah.
Dalam SENIMAN, kami ada prosedur operasi standard jelas. Individu terbabit perlu datang dan membuat laporan bertulis. Laporan itu menjadi benteng dan asas sebelum sebarang tindakan diambil.
“Kami tidak boleh mengeluarkan kenyataan atau menuduh sesiapa tanpa bukti kukuh. Sebab itu mangsa perlu berjumpa pihak SENIMAN atau sekurang-kurangnya menghubungi kami untuk berbincang,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut, Hafiz berkata laporan bertulis amat penting memandangkan isu tersebut didakwa bukan berlaku sekali, sebaliknya berulang kali dan melibatkan kes serius.
Individu itu perlu tampil membuat laporan rasmi supaya kami boleh tentukan langkah seterusnya.
“Dalam kes ini, semua itu sangat berat kerana melibatkan dakwaan berulang,” ujarnya pada sidang media filem arahannya, Mak #SalamDariSyurga, di sini, malam tadi.
Tambahnya, kemungkinan wujud bukti sokongan seperti perbualan mesej, gambar atau rekod lokasi hanya boleh dikenal pasti selepas laporan rasmi dibuat.
“Mungkin ada bukti perbualan WhatsApp, gambar atau perkara lain. Kita tidak tahu selagi laporan belum diterima. Jika laporan ada, barulah saya boleh mengulas dengan lebih lanjut.
Buat masa ini, apa boleh saya katakan, datang ke pejabat SENIMAN atau hubungi saya supaya proses ini berjalan secara formal,” jelasnya.
Paling penting kata Hafiz, dia tidak menafikan kes gangguan seksual dalam industri hiburan sudah lama berlaku dan masih berulang hingga hari ini, termasuk ketika awal pembabitannya lebih dua dekad lalu.
“Saya tidak menafikan pendedahan dibuat individu terbabit. Perkara ini memang berlaku sejak dulu. Cuma bezanya, dahulu tiada media sosial. Jadi banyak kes tidak tular. Saya memang mengeji perbuatan sebegini.
Ada juga yang bercakap secara terus terang, ‘kalau nak berlakon, jom daftar masuk hotel.’ Bukan hanya lelaki dengan lelaki, lelaki dengan perempuan juga berlaku. Saya sendiri pernah berdepan situasi sebegitu walaupun sebagai lelaki,” dedahnya.
Mewakili SENIMAN, Hafiz mengingatkan semua penggiat seni agar sentiasa berwaspada kerana hukuman menanti amat berat, khususnya melibatkan kes di bawah Akta Kanak-Kanak.
Tegasnya, SENIMAN bersedia mempertahankan mana-mana artis atau bakat muda menjadi mangsa, khususnya mereka yang hanya mahu mencari rezeki secara jujur dalam industri.
“Dalam apa jua kes jenayah, terutama membabitkan kanak-kanak, kesannya sangat besar. Sekali terpalit, kehidupan boleh musnah.
Kepada sesiapa di luar sana, hentikan niat menjijikkan ini. Lelaki dewasa mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak adalah perbuatan sangat hina dan saya tidak akan berkompromi.
“Mereka datang dengan niat baik, tetapi ditekan dengan cara salah. Jika ada mangsa, saya akan berdiri mempertahankan mereka,” tuturnya.
Sebelum ini, seorang pelakon tampil membuat pendedahan mengejutkan mendakwa pernah diliwat seorang pengarah ketika zaman kanak-kanak sewaktu aktif berlakon demi membantu menyara keluarga.
Menurut pelakon berkenaan, meskipun memilih berdiam diri selama bertahun-tahun demi menjaga hubungan kekeluargaan, trauma serta dendam akibat kejadian itu masih menghantui kehidupannya hingga kini. – HIBGLAM
